PRN Johor: Bubar DUN Untuk Mandat Rakyat, Bukan Keputusan Wakil Rakyat ‘Berpindah-pindah’ – Ahmad Maslan

PONTIAN, 30 Jan – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyangkal tuduhan pelaksanaan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor adalah secara sendirian yang digerakkan oleh kepimpinan UMNO. 

Dalam hal ini beliau merujuk kepada kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dilapor berkata strategi untuk melaksanakan PRN adalah bukan strategi yang baik, tetapi dilakukan segelintir pihak serta mendakwa ia merupakan strategi kluster mahkamah, kluster kalah PRU14 dan mereka yang tiada jawatan.

Dalam hal ini ini, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menegaskan sewajarnya Presiden Pas itu mendapat maklumat yang sahih bahawa pembubaran DUN telah dibuat dengan pelbagai rundingan serta diperkenan oleh Sultan Johor.

“Sepatutnya Tan Sri Hadi Awang memahami konsep demokrasi yang sebegini rupa bahawa jawatan-jawatan itu hendaklah didapati daripada mandat rakyat yang sah dan bukan dari perkumpulan wakil rakyat yang berpindah-pindah kedudukan.

“Saya harap beliau memahami tentang hal sebegini. Apa salahnya UMNO mahukan mandat rakyat baharu dan tidak mahu mandat wakil-wakil rakyat saja. Kerajaan Melaka, Johor, Pusat dan sebelum ini adalah mandat wakil-wakil rakyat dan bukan mandat rakyat,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Tambah Ahmad, keputusan untuk mengadakan PRN adalah satu tindakan yang bertanggungjawab serta mengembalikan kuasa pada rakyat.

“Walhal mandat sebenar sebelum itu adalah PH. UMNO ingin kembalikan mandat rakyat yang sebenar, seperti contohnya di Melaka sudah mendapat mandat rakyat yang sebenar dan itu yang UMNO mahukan.

“Apa yang diperolehi sebelumnya dipertikaikan kerana mandat rakyat tidak sebenar-benarnya daripada sudut demokrasi Negara,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.