Tolak Retorik Pembangkang… PRN Johor Peluang Rakyat Stabilkan Kerajaan Negeri – Wanita UMNO

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim melihat kenyataan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) berkenaan menimbulkan seribu satu persoalan.

Kata beliau, jelas itu hanyalah sekadar retorik pembangkang dan apakah perlu dikorbankan kebajikan rakyat serta kestabilan negeri hanya kerana perlu berhadapan dengan segala ugutan serta tindakan yang hanya retorik memberi sokongan.

“Kata Speaker DUN Johor malam tadi dalan sesi temu bual bersama stesen TV, PRN Johor membazir kerana akan menelan belanja sehingga 150 juta. Itulah retorik pembangkang bila Menteri Besar mohon perkenan Sultan untuk bubar DUN dan adakan PRN.

“Belanjawan Johor 2022 hampir tidak lulus kerana pembangkang hanya main retorik mahu sokong, tetapi ugut serta beri pelbagai syarat dengan segala kepentingan mereka. Belum lagi dasar-dasar lain,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Norshida yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat seterusnya menegaskan PRN Johor bukan soal UMNO mahu kuasa serta bukanlah soal kerajaan mahu memaksa rakyat mengundi selain menyusahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti kenyataan Speaker Johor.

Sebaliknya tegas beliau PRN ini adalah soal kembalikan semula mandat kepada rakyat untuk mengundi parti menerajui sebuah kerajaan yang kuat serta stabil.

“Sebab itulah rakyat Johor perlu buat pilihan yang betul dan tepat. Bukan undi ikut emosi, bukan undi ikut trend. Ingat rakyat Johor, kita telah menghadapi krisis pertukaran Menteri Besar lebih dua kali selepas PRU-14. Keadaan ini sangat mengurangkan keyakinan pelabur. Begitu juga dengan kerajaan yang hanya lebih satu kerusi, pelabur tidak yakin dengan pentadbiran kerajaan yang tidak stabil.

“Kita mungkin perlu belanjakan kos RM 150 juta utk PRN ini, jumlahnya kedengaran sangat banyak. Tetapi kos ini adalah soal memberi semula hak rakyat memilih kerajaan yang kuat. Kita perlukan kerajaan yang stabil untuk menggerakan ekonomi Johor selepas pandemik COVID-19 dengan cepat, bukan kerajaan yang lebihan satu kerusi serta dibentuk dengan simpati pihak lawan.

“Rakyat Johor perlu buat pilihan yang tepat dan betul untuk PRN kali ini.  Rakyat Johor perlu gunakan peluang ini dengan maksimum. Pengundi muda perlu rasional untuk menilai parti mana yang mampu memberi jaminan masa depan yang baik,” tambahnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.