Zahid Sifatkan ‘Maruah’ Keluar Parti Ibarat ‘Tepuk Air Di Dulang Terkena Muka Sendiri’


KUALA LUMPUR, 28 Jan – Pepatah ‘menepuk air di dulang terkena muka sendiri’ perumpamaan yang disebut oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mengulas berkaitan dengan persoalan maruah apabila Ketua PPBM Tebrau Mazlan Bujang bertindak keluar parti serta merta, semalam.

Terdahulu, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Mazlan yang keluar parti sebagai tidak bermaruah.

Dalam hal ini Zahid berkata, ketika gerak kerja dilakukan hingga 15 orang ahli Parlimen dari UMNO melompat memberikan sokongan kepada mereka, maka adakah itu namanya maruah?

“Saya tidak perlu memberikan sebarang reaksi kepada sebarang persoalan maruah tetapi tentunya kalau kita mempunyai kewibawaan untuk menjaga parti maka pasti tidak ada sesiapa di kalangan kepimpinan yang meninggal parti terutamanya apabila pilihan raya negeri (PRN) Johor akan diadakan.

“Kita tahu bahawa gerak kerja yang dilakukan hingga 15 ahli parlimen daripada UMNO yang melakukan pelompatan itu maka adakah itu namanya maruah?

“Apabila menepuk air di dulang maka akan terkena kepada seseorang dan tentunya terkena muka sendiri,” kata Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian kepada UMNO-Online, malam tadi.

Semalam Mazlan bersama 22 Ahli Jawatankuasa PPBM Tebrau melepaskan jawatan dalam parti serta-merta dan memaklumkan memberi sokongan kepada Menteri Besar Johor Hasni Mohammad dan BN.

Sabtu lepas (22 Jan), Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN Johor.
Kerajaan Negeri Johor sebelum ini diterajui BN dengan 28 kerusi merangkumi UMNO (14 kerusi) dan MIC (dua) serta disokong Bersatu (11) dan PAS (satu) manakala PH dengan 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam). – UMNO Online