BN Johor Selaraskan Aktiviti Kempen PRN Ikut SOP Yang Digariskan – Dr Adham

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diumumkan tarikhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 9 Febuari depan sudah tentu akan menjadi tumpuan setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada minggu lalu dan parti-parti politik akan bersaing dalam usaha meraih sokongan para pengundi.

Pelbagai parti politik yang berdaftar termasuklah UMNO menerusi Barisan Nasional (BN) sudah pasti akan meletakkan calonnya dengan pelbagai kekangan akan ditempuhi sepanjang kempen yang akan berlangsung kelak memandangkan COVID-19 masih lagi menjadi ancaman kepada seluruh rakyat.

Mengulas soal berkenaan, Ketua Penerangan UMNO Johor Datuk Seri Dr Adham Baba dalam satu wawancara khas bersama UMNO-Online berkata pihaknya sudah bersedia untuk menghadapi PRN berkenaan dengan meneliti dan menyesuaikannya berdasarkan keadaan semasa.

Kata beliau dalam senario hari ini sudah pasti segala pelaksanaan kempen kelak akan diselaraskan dengan segala bentuk Standard Operationa Procedure (SOP) yang akan dikeluarkan oleh pihak SPR dan juga Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) serta agensi berkaitan yang lain.

“Kempen akan diselaraskan mengikut SOP yang akan ditetapkan kerana PRN dilaksanakan semasa pandemik COVID-19. Apa pun sudah pasti akan ada perbezaan berdasarkan senario semasa khususnya di negeri Johor.

“PRN Johor kali ini kita masih lagi berdepan dengan jangkitan COVID-19… maka pengalaman kita akan digunakan sebaik mungkin dalam usaha menjayakan kempen yang dibenarkan oleh SPR selain merujuk kepada SOP KKM kelak dalam usaha pencegahan dan pengawalan pandemik ini.

“Ini kerana kita bukan sahaja mahu PRN ini akan melahirkan sebuah kestabilan tetapi pada msa yang sama tidak menggangu masyarakat daripada sudut kesihatan,” katanya.

Mengulas undi 18 dan juga pendaftaran pengundi automatik, Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara seterusnya menegaskan semua parti politik akan berdepan dengan perkara tersebut, namun sudah pasti setiap parti mempunyai cara urus yang tersendiri.

“Insya-Allah…, kita akan bergerak menggunakan segala strategi yang ada untuk mendekati pengundi termasuklah sasaran pengundi 18 tahun dan pertama kali yang akan mengundi pada kali ini.

“Umumnya sudah tahu pengundi yang baru pertama kali mengundi terdiri daripada mereka yang baru didaftarkan. Justeru segala penerangan dan penjelasan akan kita berikan melalui pelbagai medium teramsuklah penggunaan media baharu dan sebagainya lagi,” ujarnya.- UMNO Online