Bersatu Tebrau Akhirnya Terkubur, Bukti Perpecahan Yang Tidak Berkesudahan

TEBRAU, 28 Jan – Pengumuman perletakan jawatan Mazlan Bujang sebagai Ketua Bersatu (PPBM) Tebrau serta keluar parti berkuatkuasa serta-merta pada Khamis dilihat sebagai satu isyarat jelas buat rakyat bahawa parti itu secara moralnya sudah terkubur untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang ini.

Menurut Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tebrau, menyelusuri pendedahan dari Mazlan akan ada ramai lagi yang akan mengikut jejak beliau dengan meletak jawatan serta keluar parti.

“Ini memberi gambaran bahawa Bersatu Johor secara moral juga bakal terkubur untuk PRN Johor.

“Mengambil iktibar dari perkembangan ini, perlu diingatkan bahawa inilah parti yang menyebabkan Menteri Besar Johor bertukar sebanyak dua kali (sebelum digantikan dengan Datuk Hasni Mohammad) dalam sejarah pentadbiran Kerajaan Negeri Johor walaupun ketika itu mereka (Pakatan Harapan-PH) mempunyai kerusi majoriti yang besar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu lagi, perpecahan dalaman parti Bersatu Johor yang tidak berkesudahan seperti yang dilaporkan oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu telah menyebabkan Negeri Johor berada dalam keadaan tidak stabil sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Siri ‘drama politik’ ini telah merugikan masa, tenaga dan peluang pelbagai pihak dalam membangunkan potensi yang dimiliki Negeri Johor serta memberi kesan langsung terhadap kehidupan rakyat Johor.

“Pemuda UMNO Bahagian Tebrau juga tidak akan pernah lupa segala rancangan jahat parti ini di Tebrau untuk menyekat dan melemahkan UMNO Tebrau selepas PRU-14.

“Sejarah tidak akan pernah menipu melainkan kepada mereka yang lalai ditampuk kuasa dan mempunyai agenda peribadi di Tebrau,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO Bahagian Tebrau merasakan inilah masa yang terbaik untuk Mazlan bersara dari arena politik di Tebrau dengan cara terhormat.

Di samping itu, Pemuda UMNO Bahagian Tebrau juga mengucapkan terima kasih kepada Mazlan atas keterbukaan menyokong Barisan Nasional (BN).

“Semoga sokongan yang ikhlas ini tidak sesekali dijadikan asbab untuk YB (Yang Berhormat) diterima semula ke dalam keluarga UMNO Tebrau untuk PRN Johor ini. Selamat maju jaya buat YB Mazlan Bujang,” katanya.

Pemuda UMNO Bahagian Tebrau juga mengajak pengundi-pengundi di Tebrau untuk mengundi calon BN di N40 Tiram dan N41 Puteri Wangsa pada PRN Johor tidak lama lagi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.