KKR Sabah Nasihat Rakyat Tidak Bina Rumah Atas Rizab Jalan – Bung Moktar

KINABATANGAN, 6 Jan – Kementerian Kerja Raya (KKR) Sabah menasihatkan rakyat di negeri ini supaya tidak mendirikan rumah atau bangunan sewenang-wenangnya di atas rizab jalan raya, bagi memberi ruang kepada pelebaran infrastruktur itu pada masa depan.

Menterinya Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata apabila trafik pengangkutan semakin meningkat pada masa depan di sesuatu kawasan, ia akan memerlukan usaha pelebaran jalan demi keselesaan pengguna.

“Rizab jalan tidak boleh diduduki…jika mereka (rakyat) faham, seharusnya mereka bina rumah jauh sikit dari jalan raya.

“Apabila rumah yang dibina cantik, kos (pampasan) bukan dikira mengikut harga rumah itu, tetapi mengikut kemampuan kerajaan,” katanya selepas menghadiri taklimat mengenai pembangunan infrastruktur jalanraya dan bekalan air di Kinabatangan di sini.

Bung Moktar berkata demikian ketika menjelaskan perkembangan projek pembinanan lebuh raya di Kinabatangan.

Beliau berkata kira-kira 50 rumah telah dikenal pasti untuk diarah berpindah bagi memberi laluan kepada projek itu.

Katanya, penduduk rumah berkenaan perlu berpindah dan kerajaan telah menyediakan tanah untuk mereka membina semula rumah di sekitar Kota Kinabatangan.

Bung Moktar turut memberitahu terdapat projek pembinaan jalan raya yang sedang dan akan dibuat di Tongod, antaranya jalan raya yang akan menghubungkan Linayukan di Tongod dan Sinaron di Keningau bernilai RM320 juta, dan bakal dilancarkan dengan majlis pecah tanah selepas sambutan Aidilfitiri tahun ini.
“Dengan adanya rangkaian jalan raya yang diaspal dan dibina dengan baik ini, sudah tentu akan menjadi pemangkin kepada ekonomi sekitar dan ianya boleh menghubungkan daerah Ranau, Kota Kinabalu, Kinabatangan dan Pensiangan,” katanya.

Dalam rangka kerjanya ke Kinabatangan itu, Bung Moktar turut meninjau sebuah rumah yang terkesan dengan tanah runtuh akibat hujan lebat pada malam tahun baharu.

Mangsa Rosnah Tial, 51, berkata runtuhan membabitkan lantai dapurnya yang mengalami mendapan, seterusnya struktur di bahagian rumah itu turut rosak.

“Kejadian berlaku sekitar waktu Maghrib dan saya dan keluarga terus mengambil keputusan keluar dari rumah dan menumpang di rumah saudara,” katanya. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit