Itu Gambar Lama… Hentikanlah Politik Kotor, Tak Serik-serik Tipu Rakyat – Zahid
KUALA LUMPUR, 28 Dis – Semalam tular gambar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memikul barang keperluan yang didakwa ketika banjir melanda negara pada minggu lalu sedangkan perbicaraan membabitkan beliau di mahkamah pada Khamis terpaksa ditunda susulan beliau dilaporkan tidak sihat.
Sehubungan itu, Zahid dalam kenyataan terbaharunya menerusi laman facebook tampil menerangkan bahawa ada pihak yang menabur fitnah menggunakan gambar terbabit yang jelas berniat memburukkan beliau.
“Di saat seluruh rakyat terkesan dengan musibah banjir yang melanda sedang bertungkus lumus membersihkan kediaman dan premis mereka, ada pihak yang tidak bertanggungjawab menabur fitnah dan mengumpul dosa kering terhadap saya. Ini fitnah terbaru dilemparkan dengan jelas niat untuk memburukkan nama saya.
“Sebenarnya ini gambar lama saya yang dirakam semasa banjir di Pahang pada 7 Januari 2021.
Namun gambar lama saya itu mereka kaitkan dengan rawatan yang saya terima di luar negara bulan lalu,” katanya yang sebelum ini telah menjalani rawatan di Jerman ekoran sakit belakang serta leher.
Katanya, dakyah mereka beliau baru selesai menjalani rawatan, tetapi sudah berupaya memikul barangan berat untuk mangsa banjir pada minggu lalu.
“Dalam keadaan ramai rakyat berdepan kesulitan akibat bencana banjir mereka tidak sudah-sudah dengan politik kotor dan jijik.
“Hentikanlah. Dalam keadaan rakyat amat-amat memerlukan bantuan ketepikan politik nista sebegitu,” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Ujarnya, nampak gaya mereka ini masih tidak serik-serik untuk menipu dan memperdaya rakyat Malaysia.
“Bersama kita abaikan mereka ini dan teruskan usaha-usaha menolong rakyat.
“Semoga Allah berikan hidayah dan petunjuk kepada mereka yang suka menabur fitnah agar kembali bertaubat atas perbuatannya,” katanya lagi.
Beliau turut menyertakan link di akaun twitter rasmi untuk melihat tarikh sebenar gambar tersebut:
https://twitter.com/DrZahid…/status/1347080326732861441… – UMNO Online