PM Ismail Sabri Santuni Mangsa Banjir Di Puchong
KUALA LUMPUR, 26 Dis – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini meninjau dan menyantuni mangsa banjir yang telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing di sekitar Puchong dekat sini.
Beliau tiba di Masjid Al-Istiqamah yang terletak berdekatan dengan kawasan terjejas pada pukul 1.14 petang bagi menunaikan solat Zohor, sebelum meneruskan tinjauan kira-kira 2.05 petang.
Perdana Menteri turut menziarah lima rumah secara rawak bagi bertanya sendiri situasi dan keperluan mangsa, yang rata-rata kehilangan harta benda dalam jumlah besar disebabkan bencana itu.
Ismail Sabri turut meninjau Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang dijadikan pusat saluran bantuan kepada penduduk terjejas.
Tinjauan itu turut disertai Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Sementara itu mangsa banjir yang ditemui Bernama, Mazalan Kadim, 44, berkata Perdana Menteri sempat menerangkan kepadanya mengenai bantuan RM1,000 yang diperuntukkan kerajaan kepadanya, dalam sesi tersebut.
“Saya ada dengar berkenaan pengumuman bantuan itu tetapi tidak jelas tentang cara untuk memohon dan sebagainya,” katanya.
Juruteknik Mohd Hafiz Leong Abdullah, 29, pula berkata beliau sempat berkongsi berkenaan kesukaran yang dihadapi selepas menghadapi bencana tersebut, termasuk kesulitan untuk meneruskan rutin harian kerana kerosakan peralatan asas rumah.
“Kami hargai pemberian makanan dan sebagainya yang diterima, namun amat berharap dibantu untuk mendapatkan peralatan asas seperti dapur gas untuk memasak,” katanya. – BERNAMA