Semangat Dan Keprihatinan Rakyat Malaysia Sememangnya Wajar Dipuji!
Kehidupan terjejas di lebih separuh kawasan di negeri Selangor dengan ribuan klip video dikongsi dalam media sosial menunjukkan ramai penduduk dan pemandu kenderaan terperangkap di jalan yang dinaiki air.
Dalam tempoh ini banjir merupakan bencana tahunan, tetapi tahun ini ia lebih mencabar bagi pihak berkuasa kerana pelbagai agensi masih berperang dengan pandemik COVID-19 yang setakat ini mencatatkan hampir 3,000 kes baru setiap hari.
Pada masa sama terdapat juga beberapa laporan mengenai kejadian tanah runtuh dan banjir yang menyebabkan aliran trafik di beberapa jalan raya dan lebuh raya terpaksa ditutup dalam tempoh 24 jam lalu, dengan Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan lebat pada hari mendatang.
Dalam masa yang sama, pihak berkuasa yang telah ditanggungjawabkan WAJIB bersiap sedia bagi menghadapi banjir yang kian memburuk di seluruh negara. Dalam hal tersebut, pihak berkuasa jangan terlalu legalistik, berlengah dan berkira dalam soal memberikan bantuan kepada rakyat terkesan akibat bencana banjir.
Apa sahaja keluh-kesah masyarakat adalah tanggungjawab pihak kerajaan melalui Kementerian & pihak pengurusan bencana untuk turun ke bawah dan melihat sendiri serta mencari jalan untuk membantu menghilangkan keresahan mereka.
Semangat dan keprihatinan rakyat Malaysia sememangnya wajar dipuji! Suasana memilukan yang sedang berlaku di beberapa buah negeri di Malaysia pada hari ini menunjukkan betapa murninya sifat rakyat Malaysia apabila orang awam berganding bahu membantu menyelamatkan nyawa mangsa dan menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk untuk mangsa banjir yang terjejas.
Tanpa mengira bangsa, agama, mahupun latar belakang, rakyat Malaysia tidak putus-putus cuba menyalurkan bantuan, boleh dikatakan sejak hari pertama bencana banjir berlaku di beberapa kawasan terjejas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah. Inisiatif bantuan tersebut termasuklah bantuan bayaran balik pinjaman untuk mangsa-mangsa banjir bagi pinjaman perumahan dan hartanah, kenderaan, kad kredit serta pinjaman peribadi sehingga enam bulan.
Selain itu, TEKUN Nasional pula mengkhususkan dana berjumlah RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir Pembiayaan bagi PKS mikro yang terkesan. Bagi pinjaman sehingga RM10,000, tiada kadar faedah dikenakan dan moratorium bayaran balik diberikan untuk 12 bulan.
Menurut Perdana Menteri, inisiatif yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan dan sektor perbankan itu mengambil kira kepayahan yang didepani Keluarga Malaysia.
Kita berharap segala bantuan dapat disalurkan dengan segera tanpa menuntut kerenah birokrasi yang menekan dan membebankan.
Tidak dinafikan ada beberapa kelemahan dalam sistem pengurusan banjir di Selangor yang wajar di tambah baik. Namun begitu, serumpun bak serai, sesusun bak sirih adalah terjemahan terbaik Keluarga Malaysia yang hidup saling bermuafakat dan sentiasa bersama seperti yang tersingkap dalam bencana banjir kali ini.
Hikmah yang terserlah setakat ini adalah keikhlasan rakyat kita yang tidak boleh tidur lena apabila ada rakyat lain yang kelaparan dan kesejukan. Kebanyakan kita menghabiskan cuti akhir tahun dengan membaca laporan berita dan perkongsian terkini mengenai banjir kilat ini. Kebanyakan kita juga berkerah tenaga untuk membersihkan rumah ibadat, rumah jiran tetangga dan insan yang tidak dikenali hanya kerana kita prihatin.
Semoga semua yang terkesan dari bencana ini terbela nasib mereka dan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa menjaga kebajikan pastinya terpahat dalam setiap sanubari kita.
Datuk Norshida Ibrahim
Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia