Mengurus Musibah… Pentingnya Kerajaan Stabil Bukan Retorik Politik
BANJIR yang melanda negara sekarang ini terus meningkat dengan angka sehingga 21 Dis ialah 71,876 mangsa yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan tujuh negeri, dengan Selangor dan Pahang antara yang terjejas teruk.
Di laman media sosial pula rancak dengan pelbagai pihak meluahkan rasa dan tentunya yang paling tidak menyenangkan apabila terdapat tindakan saling menuding jari.
Sememangnya, dalam keadaan rakyat dilanda musibah dan tragedi, kebersamaan untuk membantu dan saling menyokong adalah keperluan dengan fokus kepada rakyat menjadi keutamaan.
Walaupun ramai yang sedar bahawa bencana bah dalam penghujung tahun adalah ibarat musim dalam negara namun apabila ianya melibatkan kawasan-kawasan yang tidak pernah berlaku banjir sejak puluhan tahun lalu, maka adalah sesuatu yang di luar kelaziman.
Apa-apa pun, dalam keadaan rakyat terkesan dan masih terbelenggu dengan kebimbangan serta keresahan, semangat kesatuan dalam menghadapi kesusahan diangkat sebagaimana rakyat melalui pelbagai badan bukan kerajaan, persatuan atau kumpulan tertentu menggerakkan usaha.
Sebenarnya, ini adalah satu usaha murni yang menunjukkan bahawa rakyat negara kita menongkah onak cabaran dengan cara tersendiri namun persoalannya wajarkah ada pihak berlapang dada dan berlepas tangan?
Netizen membuat aduan, memberikan laporan bergambar, melontarkan kritikan dan mempersoalkan kedudukan atau kewujudan pihak-pihak tertentu tetapi gagal melunaskan amanah tatkala rakyat memerlukan.
Ya, rakyat dalam keadaan gundah gulana. Soal nyawa bukan satu mainan apatah lagi menjadi bahan jenaka untuk ‘content’ dalam media sosial mereka.
Rakyat mahukan pertolongan, mahukan bantuan segera dan enggan berada dalam keadaan yang antara ‘hidup dan mati’ lantaran kesejukan di atas bumbung atau terperangkap dalam rumah bahana air yang naik mendadak. Nilai nyawa tidak ada galang ganti, malah ramai mangsa yang sehelai sepinggang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) sedangkan harta benda ditenggelami air, diseliputi selut malah ada yang hanyut hanya meninggalkan tapak.
Rakyat kini sudah ibarat jatuh ditimpa tangga lantaran kesempitan hidup mendepani pandemik COVID-19 belum berakhir namun terpaksa pula melalui keperitan bencana banjir selain kerenah pelbagai pihak yang menyulitkan.
Sesungguhnya kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak menafikan terdapat kelemahan dalam pengurusan banjir terutamanya di Selangor adalah makna sebuah kekecewaan yang seharusnya tidak berlaku.
Dalam hal ini, perlu difahami bahawa soal kelemahan atau pengurusan tidak sepatutnya diletakkan pada pundak PM sahaja kerana kerajaan negeri adalah pihak utama yang wajar akui kesiapsiagaan yang gagal dilaksana.
Apatah lagi apabila kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri ditadbir oleh pengurusan yang berbeza maka barangkali tentunya kelancaran aliran dari segi komunikasi dan pelaksanaannya juga ada sekatan atau mungkin juga tidak akan diambil serius.
Ini belum lagi dengan kedudukan menteri-menteri tertentu yang terdiri dari ideologi berbeza namun mempunyai kuasa penuh dalam mengeluarkan arahan apabila terjadinya bencana kepada rakyat, maka hal tersebut juga mengundang hujah dari netizen.
Memang rancak juga nama-nama pemimpin tertentu disebut-sebut oleh netizen tetapi dalam keadaan musibah belum berakhir itu semua tidak mendatangkan makna. Namun begitu tauladan terbaik adalah untuk memahami makna sebenar sebuah kerajaan stabil yang memiliki mandat penuh dengan setiap menteri dan negeri sealiran sebagaimana yang pernah dilaksana oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.
Tak cukup dengan itu, lihat pula bagaimana Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun yang tidak sealiran dengan pemimpin kerajaan apabila menolak usul tergempar dan tidak membenarkan perbahasan isu banjir sedangkan ia adalah isu nasional yang meruncing dan wajar diangkat di Parlimen.
Sungguh, kerajaan stabil sangat bermakna dan sangat penting dalam menentukan soal haja tuju negara dan kesejahteraan rakyat. Mandat menetukan kerajaan adalah kuasa rakyat namun rakyat sendiri perlu bijak membuat pilihan kerana kerajaan yang stabil adalah jaminan masa depan bukanlah satu retorik politik.
Tak apalah… kesukaran hari ini kita tangani bersama kerana pemimpin UMNO/BN tidak duduk diam biarpun ada antara mereka tidak menjadi menteri, waima bukan juga wakil rakyat namun khidmat UMNO bersama rakyat tidak pernah padam.
Dari Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan barisan Majlis Kerja Tertinggi UMNO hinggalah kepada ahli-ahlinya di akar umbi, gerak kerja dilaksana sebagaimana menjulang cogankata ‘Bersatu, Besetia, Berkhidmat’.
Apa yang pasti, UMNO/BN ‘terus melangkah’ dengan mendukung kepimpinan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO untuk mendepani pelbagai krisis dan menjuarai rakyat demi kejayaan masa hadapan khususnya Pilihan Raya Umum ke-15.
Pada rakyat khususnya pengundi pula… sememangnya musibah adalah ruang untuk muhasabah, ingatlah kesakitan hari ini untuk menjadi tauladan agar kelak tidak silap melakukan penilaian dalam memilih wakil rakyat. Inilah masa terbaik untuk melihat dan menilik antara kaca atau permata. Moga kita semua dalam rahmat Ilahi dan sama-sama keluar dari pelbagai bencana. Wallahuahlam
EDITOR UMNO ONLINE
Ropikah Ahmad