Pencapaian 100 Hari Keluarga Malaysia, Bukti Komitmen Kerajaan Kembali Landasan Ekonomi Negara – Shahril Hamdan

KUALA LANGAT, 13 Dis – Pencapaian 100 hari Keluarga Malaysia membuktikan komitmen serta kredibiliti kerajaan dalam mencapai aspirasi yang digariskan terutama dalam fokus membantu rakyat, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan.

Jelas beliau lagi, ini mencerminkan bahawa kepimpinan yang diterajui oleh UMNO itu melakukan yang terbaik meskipun tidak sempurna namun telah menunjukkan prestasi positif dalam usaha mengembalikan landasan ekonomi negara.

“Saya melihat 100 hari pertama kerajaan Keluarga Malaysia yang dipimpin oleh Perdana Menteri Malaysia merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menunjukkan ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki tetapi banyak juga pencapaian yang diraikan.

“Misalnya penambahan jumlah pekerjaan di dalam satu suku tahun ke suku yang terbaru, juga dari segi usahawan yang dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang menterinya dipacu oleh UMNO serta penambahan pelaburan langsung asing (FDI) yang telah disahkan dan juga diluluskan naik lebih RM100 Bilion,” katanya kepada UMNO Online baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu juga malah mengakui pelbagai lagi cabaran yang perlu diteliti dan ditangani sebaiknya apatah lagi dengan krisis pandemik COVID-19 belum berakhir.

“Ini tidak sedikit pun menafikan bahawa di bawah masih lagi banyak cabaran, masih lagi banyak tekanan dari segi harga barang yang naik mendadak, pengangguran masih lagi 700 ribu ke atas dan perlu bersaing dengan negara lain untuk menaikkan ekonomi dan menarik pelaburan, ini adalah cabaran-cabarannya dan tidak ada satu parti politik boleh menafikan,” ujar beliau.

Tambah Shahril lagi, kerajaan sedia ada ini perlu dipertahankan kerana mengambil iktibar dengan di Melaka bahawa kestabilan politik ini menjadi enjin atau kunci bagi satu penyelesaian yang lebih tuntas.

“Selagi kerajaan Keluarga Malaysia berdiri dan mengharapkan kestabilan politik dapat dipertahankan sehingga memberi ruang kepada kerajaan mendapat pandangan dan panduan daripada kepimpinan parti yang duduk di luar kerajaan untuk sama-sama mengembleng tenaga dan usaha ke arah satu keberhasilan.

“Rakyat melihat banyak cabaran tetapi UMNO juga parti yang terbaik untuk berikan pengharapan kepada rakyat untuk selesaikan masalah ini,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.