Aktifkan, Gerakkan Secara Maksima Mekanisme Sistem Maklumat Forensik Dan Keahlian Parti

HARI ini 12 Disember 2021 (Ahad) sekali lagi berlangsungnya sejarah keramat di Malaysia iaitu perhimpunan terbesar wanita dan kaum ibu yang mengoncang dunia, iaitu perhimpunan Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, sebuah pertubuhan orang Melayu bahagian Bukit Bintang sahaja.

Tunggulah 13 hingga 15 Januari tahun depan nanti bagi perhimpunan dari seluruh Malaysia bakal menyaksikan perhimpunan terbesar dari atasan hingga akar umbi UMNO.

Segalanya ada ibunya. Anak ayam pun ada ibunya. Apalagi anak-anak yang masih mentah yang dahagakan bimbingan, didikan, pandu arah dalam menghadapi dunia dan bunia, nyata dan ghaib yang semakin mencabar ini.

Malah adat, adab dan istiadat Melayu sentiasa ingat, rujuk dan berpandukan kepada amalan, ajaran dan cara hidup berharmoni dan berkasih sayang yang diterapkan oleh nenek moyang Melayu. Takkan Melayu hilang di dunia dan bunia. Selagi anak cucu ingat tok nenek. Tanpa tok nenek tiadalah mereka hari ini.

Namun setelah UMNO jatuh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu akibat hasutan dan fitnah yang semakin berleluasa, yang mengikut Islam diharamkan tetapi dihalalkan oleh puak yang menggunakan topeng agama, anak muda generasi pelapis Melayu dan UMNO khususnya seolah anak ayam kehilangan ibunya.

Itulah cabaran terbesar Wanita UMNO dalam mempersiap siaga dan menghadapi pertempuran selanjutnya pada PRU-15 nanti.

Tidak ada pilihan. Walau apa pun yang dilakukan wanita tunjang belakang UMNO ini mesti bangun, berdiri teguh, bertindak dan turut sama berperang di barisan hadapan.

Tambahan pula peperangan akhir zaman adalah peperangan yang tidak menggunakan pedang.

Telah pun terbukti dan dapat dilihat bahawa UMNO kalah pada PRU-14 adalah kerana kedegilan pihak tertentu dalam UMNO yang tidak mahu mengikuti perkembangan semasa dan mengeksploitasi perkembangan ilmu sains dan teknologi.

Asyik-asyik bermimpi dengan keris dan pedangnya sahaja.

UMNO sudah pun kukuh sedia ada dengan berbagai senjata yang tidak menggunakan pedang, telah membelanjakan beratus juta ringgit ke arah itu.

 

Persoalannnya adakah hendak dibiarkan menjadi gajah putih, mereput dan syok sendiri sahaja? Sudah tentu tidak!

Wanita dan Puteri mesti berganding bahu bersama Veteran dan Pemuda, sebagaimana falsafah Melayu, ‘Lelaki pemimpin negara wanita pemegang kuasa’.

Kalau dulu tangan yang menggoncang buaian itu boleh menggoncang dunia, kenapa tidak tangan itu yang mengetuk ‘keyboard’ tidak boleh meledakkan dunia?

Penulis selaku ahli UMNO cawangan KLCC mengusulkan supaya diaktifkan dan digerakkan secara maksima mekanisme dan sistem maklumat forensik dan keahlian parti bukan sahaja bagi unit ICT tetapi wajib bagi semua ahli UMNO sebagaimana wajibnya memiliki telefon pintar.

Sistem dan mekanisma inilah antara senjata paling ampuh setakat ini bagi menghadapi lawan. Janganlah ragu-ragu.

Sedikit yang sengaja dicicirkan dan dikutip serta digunakan oleh pembangkang telah menjadikannya kerajaan.

Jangan ulangi kesilapan, angkuh dan bongkak yang sama. Seperti kata orang Perak ‘bodoh tak boleh diajar, cerdik tak boleh diikut’.

Kami memiliki sistem dan mekanisma ini. Banyak masalah tertunggak boleh diselesaikan serta merta. UMNO/Barisan Nasional (BN) mempunyai formula untuk menang besar pada PRU-15 nanti. Lanjutkan momentum kemenangan besar di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Tidak perlu diulang peratusan keluar mengundi yang rendah.

Seperti yang kami ‘pernah’ jumpa, lebih separuh daripada 22 ribu ahli UMNO di satu bahagian yang masih tidak mendaftar sebagai pengundi! Bagaimanakah hendak menang pilihan raya?

UMNO tidak bertanding atas tiket bersendirian tetapi bersama atas tiket BN. Namun adakah ianya satu realiti atau lakonan wayang sahaja?

Mekanisme ini membolehkan kerjasama diselaras, disepadu, disusun, distrategi, diseragamkan sehingga di peringkat akar umbi. Automatik mengelakkan sebarang kelemahan pengurusan pentadbiran, keciciran, kebocoran dan pembaziran.

Misalnya segala yang berkaitan dengan kebajikan dan warga emas lebih mudah diselaraskan mengikut bangsa atau etnik parti komponen utama seperti UMNO, MCA, MIC dan sebagainya.

Tambahan pula dengan adanya sistem pengkalan data khusus untuk golongan B40 atau rakyat miskin, papa, kedana, tidak akan ada golongan ini yang tercicir dalam segala bentuk bantuan dan keprihatinan.

Dengan mekanisma SOKIP, iaitu Sistem Online Kira Indeks Pendapatan, ia menjadikan UMNO mempunyai perisai dan baju bagi menghadapi dan mematikan sebahagian besar serangan lawan.

Malah sehingga ke peringkat paling ekstrem jika sistem dan mekanisma ini digunakan sepenuhnya, pengguna (parti) boleh tahu akan menang atau kalah di sesuatu kawasan sebelum pun dipilih calon yang bertanding.

Jika digunakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Malaysia boleh menjadi satu-satu negara di dunia ini yang mencapai sifar peratus pengundi atau undi hantu, selain mengadakan pilihan raya secara hibrid (manual tradisional dan ‘online’).

Soalannya, PRU-15 semakin hampir, gabungan parti semakin banyak dan berpecah, siapakah yang hendakkan sistem dan mekanisma ini?

Sistem ini telah mula dicipta pada PRU-12 dan sehingga kini masih gagal ditiru oleh sesiapa pun walaupun telah ditunjuk dan digunakan. – UMNO ONLINE

 

 

 

 

 

 

 

 

Oleh: Wan Noor Hayati Wan Alias
Ahli UMNO Cawangan KLCC, Bahagian Bukit Bintang

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.