Pemuda Jadi Mata Dan Telinga Rakyat – Hasmuni
KUALA LUMPUR, 11 Dis – Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan berpandangan UMNO adalah satu-satunya parti yang secara tradisinya membawa perjuangan dalam membela nasib rakyat.
Malah beliau meluahkan kepercayaan bahawa mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian-Bahagian di seluruh Malaysia yang berlangsung pada minggu ini bakal membawa paradigma berbekalkan prinsip terutama kepada Pemuda UMNO yang membawa mata, telinga dan suara rakyat.
“Bukan sahaja mesyuarat itu penting, jauh lebih penting ialah agenda dan tindakan daripada mesyuarat itu.
“Dalam realiti hari ini, dunia telah berubah. Itulah sifat hidup. Jika tidak berubah ertinya mati. Dalam politik, jika kita tidak berubah, kita akan diubah.
“Paling jelas perubahan masa kini ialah kepantasan pergerakan dunia tanpa sempadan. Kita tidak lagi perlu menunggu untuk membaca akhbar hari esok untuk mengetahui insiden dan peristiwa yang berlaku hari ini,” katanya menerusi satu hantaran.
Tambah Bendahari Pemuda UMNO Negeri Kedah itu lagi, sayap muda parti pada hari ini harus menjadi pemacu dan memimpin dalam menghadapi perubahan teknologi yang berlaku ketika ini.
“Dalam sekejap masa, isu panas akan menjadi tular dan tersebar di media sosial. Bukan saja dalam lokaliti tetapi meniti di segenap dunia maya.
“Pada hari ini, rakyat bukan sahaja perlukan pendesak untuk mendesak keperluan-keperluan mereka. Malah, rakyat pada hari ini mahu isu dan masalah mereka diselesaikan.
“Dalam hal ini, Pemuda UMNO mesti menjadi fasilitator atau pemudah cara sehingga setiap masalah rakyat itu ada penyelesaiannya yang tuntas dan mereka berpuas hati dengannya,” ujar beliau.
Tegas beliau lagi, Pemuda UMNO juga perlu memimpin perubahan ini dengan melakukan pemasaran sosial yang terbaik dan bijak dalam usaha mendekati masyarakat.
“Undi ahli UMNO sahaja tidak cukup untuk menang dalam pilihan raya. Parti memerlukan undi rakyat. Maka jalinan Pemuda UMNO dengan masyarakat perlu lebih dipertingkatkan dan diperhebatkan.
“Pentas atau gelanggang politik kini sudah menjadi rata (flat). Kita bersaing dalam pentas yang sama. Pemenang hanya mereka yang faham dan empati dengan mereka yang ramai di luar gelanggang itu.
“Jadi, di sebalik sorak sorai dan gegar semangat yang ditiupkan dalam mesyuarat perwakilan nanti, nada itu sewajarnya sama apabila kita berada di luar dewan mesyuarat,” jelasnya. – UMNO Online