Agenda Muafakat Nasional Itu Satu ‘Etos’ Yang Lebih Besar Dari Survival PPBM

1. Di atas prinsip dan semangat setiakawan, molek rasanya diingatkan Ketua Pemuda Pas yang baharu bahawa penolakan kerjasama dengan PPBM dibuat oleh hampir lebih 2/3 Bahagian UMNO, diabsahkan melalui Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 seterusnya dimuktamadkan oleh pembuat dasar tertinggi parti UMNO iaitu Majlis Kerja Tertinggi (MKT). Ianya tidak diputuskan oleh hanya seorang figura bersifat ‘veto’ tapi oleh sebuah institusi disokong akar umbi.

2. Kita tidak pasti apa kaedah sebenar yang dijalankan dan digunapakai oleh Pas dalam meletakan dasar dan hala tuju partinya namun inilah tatacara dan proses berhemah yang dijalankan di dalam UMNO dan sepatutnya Pas lebih arif bahawa UMNO terikat dengan pendirian ini.

3. Asas penubuhan PPBM itu sendiri adalah untuk gantikan UMNO melalui muslihat ‘Scheme of Things’ ciptaan Tan Sri Mahiaddin Yassin maka sebab itulah parti tersebut itu dipenuhi dengan pelbagai rupa ‘katak politik’ berkepentingan, mana mungkin UMNO boleh menerima kerjasama sebuah Parti yang penuh muslihat sebegini.

4. Justeru, selaku Ketua Pemuda Pas, Pemuda UMNO berharap agar YB Fadhil Shaari menghormati pendirian UMNO yang merupakan sebahagian daripada gagasan Muafakat Nasional yang disepakati. Tidak perlulah Pas cuba cuba mengajar, sebaiknya Ketua Dewan Pemuda Pas tidak perlulah banyak berhikayat, kononnya bertindak sebagai ‘abang besar’ dalam Perikatan Nasional namun akhirnya ternampak seperti budak suruhan PPBM.

5. Muafakat Nasional digagaskan bagi menahan dan memperjuangkan kepentingan umat yang sebelumnya diracik-racik oleh Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan. Malah jika saudara terlupa, watak dan teraju utama tonggaknya adalah datang dari PPBM sendiri. Kemudian sejarah merekodkan ianya disusuli muslihat dan pengkhianatan berlaku dari kalangan PPBM yang berebut jawatan Perdana Menteri meruntuhkan kerjasama PH.

6. Saudara juga mungkin terlupa bahawa Muafakat Nasional bukan hanya kolisi dan kerjasama politik semata, demi kepentingan bersama ianya dipersetujui untuk tidak didaftarkan dan tidak mengikat. Maka atas kepentingan itu jugalah kita BN dan Pas yang membentuk MN berjiwa besar, demi Ummah dan demi negara bersetuju membentuk kerajaan sementara bersama PPBM sebagai terajunya walaupun mereka hanya tinggal bersisa.

7. Sewajarnya Muafakat Nasional perlu diangkat dengan idealisme yang lebih besar, sebagai ‘ETOS’ hala tuju baru pedoman dan kepercayaan seluruh kepelbagaian rakyat untuk satu matlamat yakni melihat Malaysia kembali berjaya. Pas tidak sepatutnya ‘memangsakan’ MN demi survival PPBM, dengan menyalahkan UMNO.

8. Pemuda UMNO juga ingin bertanya pada Ketua Dewan Pemuda Pas, apa pula alasan dan dalil Pas berkenaan tindakan Pas meletakan calon di PRN Sarawak membelakangi keputusan PN? Apakah kemahuan Pas sebenar benarnya?

Kita telah bersama mengharungi perjalanan politik yang panjang bersendirian dengan cara masing-masing. Penyatuan kita juga telah disambut dengan penuh pengharapan umat. Janganlah kita ‘bunuh’ harapan itu hanya kerana kepentingan survival kelompok kecil yang tiada prinsip.

9. Oleh itu, pesan kita pada Ketua Dewan Pemuda Pas janganlah berhikayat tanpa tujuan. Tidak perlu mengajar UMNO erti setiakawan dan belajarlah menghormati UMNO. Pemuda UMNO tetap redha dengan apajua keputusan Pas dan menghormatinya selaku rakan gagasan Muafakat Nasional. Namun jika Pas menolak untuk bersama MN hanya kerana PPBM, maka biarlah kami terus komited membawa Agenda ini demi Ummah dan Rakyat Malaysia. – UMNO ONLINE

Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.