Kenaikan Harga Barangan Susahkan Rakyat, Perlu Ada Solusi Segera – Wanita UMNO

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Wanita UMNO hari ini menyeru agar penguatkuasan Kementerian Perdagangan Dalam negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) segera turun ke lapangan untuk memantau harga barangan dan makanan supaya ianya tidak dimanipulasi oleh peniaga serta peruncit khususnya senarai kawalan siling bagi barangan keperluan.

Pada masa yang sama Ketua Penerangannya, Datuk Norshida Ibrahim turut menggesa agar KPDNHEP mengkaji segera seluruh rantaian makanan daripada peladang, pengedar, pemborong serta peruncit dan dimanakah punca kepada apa yang berlaku hari ini.

“Ini kerana kita yakin bahawa ada sesuatu yang berlaku terhadap nilai barangan yang meningkat kerana dikhuatiri ada yang cuba mengambil kesempatan diatas kenaikan harga ini.Bahang isu harga barang naik terutamanya barang makanan asas menyebabkan rakyat terhimpit dengan bebanan ini dan sudah semestinya kos sara hidup meningkat.

“Harga barangan makanan meningkat berleluasa berpunca akibat harga komoditi dipasaran antarabangsa sukar dikawal ditambah pula dengan pengeluaran tidak seimbang dengan permintaan dalam negara. Harga baja dan racun pula meningkat naik menyukarkan petani meningkatkan produktiviti, makanan ruji pula diimport dan sukar dikawal,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi, apa juga masalah diketengahkan, Kerajaan perlu memandang serius terhadap kerisauan rakyat mengenai isu kenaikan harga barang yang mendadak di kala negara masih lagi bertarung menentang COVID-19.

“MAFI dan agensinya perlu proaktif dalam membantu petani kerana bajet yang besar telah dilaburkan oleh kerajaan dan perlu juga membantu memerangi orang tengah yang cuba mengaut untung berlebihan.

“MAFI perlu memperkasakan penggunaan teknologi dan intervensi dengan kerjasama pelbagai pihak bagi meningkatkan hasil dan produktiviti hasil bagi menambah hasil makanan negara.

“Kerajaan perlu fokus memerangi isu isu kenaikan harga barang terutamanya barangan keperluan rakyat kerana ianya satu bebanan dan tamparan kepada rakyat di kala rakyat masih lagi sedang bertarung untuk memulihkan kembali ekonomi mereka,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit