SOP PRN Sarawak Ke-12 Akan Dimuktamadkan 30 Nov Ini
Beliau berkata perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak telah diadakan tengah hari tadi mengenai pelaksanaan SOP berkenaan, dan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Aaron Ago Dagang telah ditugaskan menyelaras perkara itu dengan kerajaan Sarawak.
“Ada beberapa perkara perlu diperhalusi, saya telah memberi masa sehingga 30 Nov ini untuk dimuktamadkan dan kemudian ia akan diusulkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Sembilan hari ini.
SPR menetapkan 18 Dis sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-12 dan hari penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Dis, manakala hari pengundian awal pada 14 Dis.
Sementara itu berkenaan isu Gerakan Hartal Doktor Kontrak yang dijangka memulakan siri mogok kedua di seluruh negara berkaitan masalah lantikan tetap, Khairy berkata pihaknya akan mengemukakan satu memorandum kepada Jemaah Menteri bagi mencari penyelesaian jangka masa panjang berkenaan isu itu dalam masa terdekat.
Baru-baru ini beberapa media melaporkan pergerakan Hartal Doktor Kontrak akan mengadakan satu mogok selepas mendakwa Bajet 2022 tidak menyelesaikan masalah doktor kontrak. – BERNAMA