PRN Melaka: Usah Leka Dengan Kemenangan… Ujian Terus Berpadu, Bersetia, Bersama – Norshida

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Setelah lima hari berlalu, Barisan Nasional (BN) menang 21 kerusi dari 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang pastinya amat makna buat BN di setiap peringkat sama ada di pusat, negeri mahupun akar umbi.

Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norshida Ibrahim berkata, kemenangan BN ini juga sebenarnya satu ujian agar semua terus berpadu, bersetia dan bersama.

“Kemenangan ini adalah hasil gerak kerja semua pihak, bukan ‘one man show’. Setiap pemimpin sama ada bergelar menteri atau bukan, setiap seorang jentera akar umbi semuanya berpadu demi rakyat, demi kemenangan BN, demi kerajaan yang lebih stabil,” katanya dalam kenyataan dalam laman facebooknya, hari ini.

Katanya, kemenangan ini menyuntik semangat berkobar-kobar dan luar biasa kepada jentera parti BN untuk berjuang dan berkerja demi kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Ia juga menggarap keyakinan BN untuk mengadakan PRU-15 dalam tempoh terdekat demi sebuah kerajaan yang lebih stabil.

“Ini adalah masa untuk kita semua saling menyokong, saling menguatkan dan saling berpadu. Bukan masanya saling mencari kurang dan saling mencari salah. Pihak yang kalah, yang hilang begitu banyak kerusi tidak gempita mencari salah pemimpin atau sengaja melakukan provokasi sesama mereka.

“Kita boleh sangat gembira, tapi usah mendabik dada, usah leka dan paling utama hindari sengketa,” katanya lagi.

Pada 20 November lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan keputusan rasmi PRN Melaka bahawa BN yang diwakili UMNO, MCA, dan MIC menang 21 daripada 28 kerusi DUN dengan menewaskan pencabarnya, Perikatan Nasional (PN) yang mendapat dua kerusi dan lima kerusi dipertahankan Pakatan Harapan (PH).

Kemenangan selesa itu menyaksikan BN berjaya membentuk kerajaan Melaka yang baharu dengan majoriti dua pertiga. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit