Masa BN Untuk Bekerja Lebih Kuat, Kemenangan Bukan Untuk Diulas-ulas – Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR, 23 Nov – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan bahawa ini adalah masa untuk bekerja dengan lebih kuat selepas Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan besar dengan majoriti lebih 2/3 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.
Ujarnya, kemenangan yang dikecapi mesti dilunaskan segera dengan tanggungjawab memulihkan ekonomi, mencipta pekerjaan, dan menambahbaik tadbir urus kerajaan.
“Banyak yang telah diperkatakan sejak kemenangan BN di Melaka. Saya tidak berhasrat untuk mengulasnya lagi.
“Bagi saya, ini adalah masa untuk bekerja. Bekerja dengan lebih kuat. Setelah tiga tahun dibazirkan oleh pergolakan politik, ini adalah saat genting bagi BN untuk terus memacu ke hadapan dengan pantas dan bingkas.
“Setelah kestabilan politik yang telah BN terima di Melaka, kemakmuran rakyat negeri Melaka mesti diterjemahkan melalui kepesatan pembangunan dan kesejahteraan hidup. Melaka memerlukan lonjakan baru di dalam sektor ekonomi. Pelancongan Melaka wajar diberi nafas baru dengan model perniagaan yang inovatif,” katanya melalui kenyataan dalam laman facebooknya.
Ujar beliau yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN, idea untuk menjadikan Melaka sebuah kota utama untuk pekerja lepas (freelancers), digital nomad, dan pengiat industri kreatif wajar diberikan keutamaan. Melaka boleh menjadi destinasi bagi pekerja lepas (freelancers) dan industri kreatif utama Malaysia.
“Berasaskan kekuatan Melaka dalam industri pelancongan kesihatan, anjakan seterusnya ialah membangunkan Melaka sebagai wilayah ekonomi berorentasikan kesihatan yang utama di negara ini.
“Melalui ikhtiar sebegini, sektor seperti pembuatan produk berkaitan kesihatan, latihan kesihatan, serta pengembangan industri farmaseutikal boleh menjadi sektor keberhasilan baru.
“Kedudukannya yang strategik di Selat Melaka mesti digunakan sebaik mungkin bagi menjadikan Melaka sebagai gerbang baru bagi kemasukan industri, pelancong, pekerja, dan pelajar dari Sumatera.”
Jelasnya, memesatkan pertumbuhan ekonomi akan mencipta pekerjaan sementara rakyat yang mempunyai pekerjaan akan akhirnya boleh mengecapi kesejahteraan asalkan kekayaan yang tercipta itu diagihkan dengan saksama.
“Kemenangan di Melaka bukan lagi untuk diulas-ulas dan dibangga-bangga. BN telah mengembalikan kestabilan dan memulihkan demokrasi di Melaka. Fasa seterusnya ialah mengurus kemajuan negeri tersebut dan memakmurkannya,” katanya lagi. – UMNO Online