BN Rakam Penghargaan Untuk Rakyat Melaka – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) mengucapkan terima kasih kepada rakyat Negeri Melaka yang telah melaksanakan tanggungjawab pengundian dalam kerangka demokrasi berparlimen Malaysia pada pilihan raya negeri (PRN) itu Sabtu lalu.

Justeru kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan media, dengan penuh kerendahan jiwa dan kesedaran dhamir, parti itu mengucapkan kesyukuran kepada Tuhan dan terima kasih kepada rakyat negeri Melaka atas sokongan padu yang diberikan.

“Tahniah diucapkan kepada calon-calon BN yang memenangi 21 kerusi dari keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka. Dewan Tertinggi BN juga merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas komitmen memastikan PRN Melaka berjalan dengan aman dan sempurna.

“Dewan Tertinggi BN juga turut mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Pengarah Pilihan Raya BN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan atas kemantapan menggerakkan pasukan dan usaha gigih sebelum dan semasa proses pilihanraya,” katanya.

Ahmad Zahid seterusnya menambah Dewan Tertinggi BN juga mengucapkan terima kasih kepada Penasihat BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, BN Negeri Melaka dan negeri-negeri angkat yang bekerja keras dan bersama dalam satu wadah bagi mengorak kemenangan BN yang bersejarah kali ini.

“Dewan Tertinggi BN turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan barisan hadapan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dan pasukan beruniform yang berusaha memastikan kelancaran perjalanan proses pilihan raya dalam suasana pandemik COVID-19,” ujarnya.

Ujar beliau lagi, PRN Melaka menjadi penanda aras penting untuk proses muhasabah, menginsafi kelemahan, menilai kemampuan dan melakukan perekayasaan BN secara konstruktif.

“BN memberi komitmen untuk meneruskan langkah pembaharuan selaras dengan perkembangan dan perubahan landskap politik dan pertambahan demografi pengundi.

“Kemenangan ini menambahkan semangat kepada BN untuk memperkukuh langkah ke hadapan demi mewujudkan kestabilan dan kemakmuran yang diimpikan oleh rakyat Malaysia,” tambahnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit