Keputusan PRN Melaka Jadi Bukti Rakyat Rindukan Pentadbiran Kerajaan BN

KUALA LUMPU, 21 Nov – Rakyat Melaka telah membuktikan kepada semua bahawa rakyat Malaysia masih sayangkan Barisan Nasional (BN) dan kerana itu orang Melaka kembali mencurahkan kasih sayang kepada BN dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata rakyat Melaka menjadi bukti yang nyata ramai rakyat Malaysia merindui pentadbiran kerajaan BN.

“Kerajaan BN yang pernah membawa kestabilan dan kemakmuran kepada negara dan negeri-negeri di Malaysia.

“Yakinilah BN pasti membalas kasih sayang yang telah diberikan rakyat Melaka dengan sepenuh jiwa dan raga.

“BN akan mengembalikan kehebatan kemakmuran Melaka seperti yang pernah kita kecapi bersama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Seterusnya Presiden UMNO itu juga berharap semoga kejayaan yang diperolehi di Melaka berterusan di negeri-negeri lain dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim kau berkatilah, redhailah dan rahmatilah bumi Melaka.

“Lindungilah rakyatnya agar kembali aman makmur dan sejahtera di bawah pentadbiran kerajaan BN,” pintanya.

MELAKA, 20 Nov — Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan BN meraikan kemenangan besar dua pertiga majoriti bagi membentuk kerajaan negeri Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Command Center Barisan Nasional (BN) di sini malam ini.

Ulas Ahmad Zahid lagi, saksikan juga kehebatan jentera BN di Melaka tua dan muda; lelaki dan wanita; Melayu, India, Cina bersama kaum-kaum lain.

“Mereka melakar sejarah baharu BN bangkit kembali sebagai parti yang diyakini oleh rakyat Melaka.

“Kejayaan mereka kini tercatat dalam sejarah perjuangan BN yang sangat manis dan indah,” katanya.

Tahniah jentera BN, namun dalam kegembiraan ini jangan sesekali kita terlupa kepada Yang Maha Esa, serunya lagi.

“Penentu kepada segala-galanya maka bersujud syukurlah kepadaNya atas kemenangan dikurniakan.

“Kemenangan bukan sekadar kuasa mentadbir, tetapi sebuah amanah oleh rakyat Melaka yang amat besar ertinya.

“Kini masa untuk bergandingan bahu bersama memakmurkan dan memajukan lagi negeri bertuah ini,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit