Kepercayaan Kepada BN Meningkat, Optimis Rakyat Berikan Mandat – Ahmad Zahid

MASJID TANAH, 19 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi optimis Pilihan Raya Negeri (PRN) esok bakal menyaksikan mandat akan diberikan pada Barisan Nasional (BN).

Katanya ini kerana beliau melihat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat di negeri ini selepas melakukan kunjungan di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Alhamdulillah bukan hanya laporan berdasarkan data dan maklum balas kami yakin bahawa calon-calon yang diketengahkan oleh BN akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengundi esok.

“Saya harap pengundi Melaka jangan tersisih dari sama-sama untuk mengundi calon BN.

“Sokongan kepada BN meningkat dan mereka tahu realiti sekarang berdasarkan pencapaian mentadbir negeri Melaka dengan begitu baik berbanding kerajaan sebelum BN mengambil alih,” katanya ketika ditemui media ketika menghadiri perjumpaan bersama pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Lendu.

Sementara itu, Pengerusi BN itu juga sekali lagi mengulangi pendirian parti bahawa calon DUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali adalah sebagai calon Ketua Menteri.

“Kita juga dapati bahawa terdapat perebutan jawatan Ketua Menteri Melaka daripada beberapa parti yang bersaing dengan BN.

“Berbeza dengan kita yang tetap utuh dan kukuh bahawa Ketua Menteri kita adalah Sulaiman Md Ali dan kita lihat di saat-saat akhir ini terlalu banyak isu-isu yang dibangkitkan kita anggap itu adalah yang pernah dimainkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 mantapkan hati kita dan undi 28 calon BN,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit