BN Rangka Manifesto Tepat, Ikut Kemahuan Rakyat – Armand

KOTA MELAKA, 19 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Senator Datuk Armand Azha Abu Hanifah berpandangan rakyat sudah bijak menilai manifesto realistik demi pembangunan negeri.

Malah katanya, manifesto Barisan Nasional (BN) yang menggariskan beberapa jangka masa menunjukkan kepimpinan parti ini komited dengan agenda membantu rakyat dan merangka strategi yang tepat.

“BN mengeluarkan manifesto yang boleh ditunaikan berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) sejak dahulu hingga kini menghapuskan tol di Tanjung Piai hendak hapuskan tol Simpang Renggam.

“Kali ini di Melaka hendak hapuskan tol Ayer Keroh jadi bagi saya ini semua manifesto corak PH yang lapuk rakyat sudah bijak menilai.

“Jelas BN menjanjikan manifesto yang boleh ditunaikan malah ianya terbahagi kepada beberapa konsep janji 100 hari, tiga tahun dan lima tahun ini yang perlu rakyat nilai dan lihat kerana Melaka ini sebuah negeri yang unik berbilang kaum negeri yang berpegang kepada konsep ekonomi pelancongan,” katanya.

Sementara itu, mengulas kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berakhir pada hari ini Ketua UMNO Bahagian Subang Jaya itu berkata beliau melihat BN mengambil pendekatan yang matang dan jelas berbeza dengan parti lain.

“Kita tengok di sosial media dan sebagainya boleh dikatakan rata-rata calon daripada ketiga-tiga parti lebih mengambil pendekatan yang berbeza menyerang malah menceritakan isu tidak sepatutnya.

“BN kali ini yang menfokuskan tentang dasar, polisi kekuatan calon, arah tuju. Kali ini BN pergi sebagai parti yang cukup progresif, dinamik, matang tidak ada serangan peribadi terhadap mana-mana calon.

“Kita menunjukkan cara konsep berkempen jauh lebih berbeza daripada sebelum ini dan kita mohon kepada semua rakyat di negeri ini terus beri sokongan kepada BN dan kita tolak politik kotor,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit