Beri Dokongan Kepada BN Untuk Kemajuan Melaka Berterusan – Dr Zambry

MELAKA, 19 Nov – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata Melaka adalah negeri yang maju sepanjang tempoh pentadbiran BN serta menjadi negeri contoh dalam bidang pelancongan dan industri.

Menurutnya, rakyat negeri tersebut mempunyai berbagai latar belakang agama dan etnik, hidup dalam harmoni dan saling memahami.

“Ini kerana pendekatan BN adalah pendekatan ‘Dacing’ yang seimbang dan disusuri dengan semak dan imbang (check and balance) atas ruang demokrasi yang disediakan.

“Semoga kestabilan yang berpanjangan dapat diwujudkan dengan memberikan dokongan kepada BN untuk membentuk kerajaan dengan majoriti yang selesa,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ulasnya juga, hari ini adalah hari terakhir buat semua parti yang bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka meningkatkan usaha dan ikhtiar meyakinkan pengundi untuk mengundi parti mereka.

“Justeru BN turut berusaha hingga ke garisan penamat bagi meyakinkan para pengundi memilih kembali parti ini.

“Atas tema Kestabilan Demi Kemakmuran, BN meletakkan asas kestabilan politik dan sosial sebagai pra-syarat kepada kemakmuran negara (termasuklah negeri Melaka),” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu yang turut mengucapkan selamat mengundi kepada rakyat negeri Melaka.

Begitu juga tambahnya, telah dilakar sejarah kestabilan dan kemakmuran yang panjang di bawah BN selama lebih 60 tahun.

“Meskipun ada babak-babak kecil yang cuba menggugat kestabilan, kita berjaya mengembalikan keamanan negara yang tercinta ini.

“Namun selepas Pilihan Raya Umum 14 (PRU14), kestabilan negara tergugat sehingga kini. Iklim ekonomi dan pelaburan turut terjejas. Malaysia tidak lagi dipandang sebagai model keharmonian.

“Politik fitnah dan benci menguasai naratif pentas politik negara. Sikap bermusuhan berkembang bagaikan barah yang merebak ke seluruh anggota,” kesalnya.

Justeru katanya BN mengemukakan tema yang asas iaitu Kestabilan untuk semua kembali menggarap masa depan bersama.

“Pendekatan sederhana BN selama ini untuk hidup secara harmoni dalam masyarakat majmuk dan berbeza wilayah adalah model kehidupan bernegara dalam Malaysia yang tercinta.

“Sepanjang laluan sejarah sebagai pembina negara, BN tentunya ada kekurangan dan kekurangan. Namun tidak dapat dinafikan kekuatan dan kelebihan yang dilaksanakan.

“BN pasti akan perbaiki segala kekurangan dan kelemahannya,” ujar Dr Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor.

Seterusnya jelas Dr Zambry lagi, untuk PRN Melaka ini BN memulakan dengan langkah pembaharuan menampilkan calon-calon muka baru 86 peratus dan hanya empat orang sahaja calon lama dikekalkan.

“Ramai calon anak muda dan wanita diketengahkan, suatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Demikian juga ramai calon berlatar-belakang pendidikan yang baik dan profesional. Dan tidak menafikan calon-calon akar umbi,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit