Wanita UMNO Ada Pendekatan Sendiri Dekati Pengundi

MELAKA, 17 Nov – Wanita UMNO mempunyai pendekatan sendiri dalam mendekati pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan tidak terikut-ikut dengan kaedah parti-parti lain.

Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pendekatan kempen wanita UMNO terbukti sejak parti ditubuhkan dan begitu juga apabila berhadapan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di dalam PRN Melaka ini.

“Kita mempunyai jentera wanita UMNO yang sangat digeruni oleh parti-parti lain. Pada PRN Melaka kali ini dengan arahan SOP yang ketat, tidak boleh berkempen dari rumah ke rumah tetapi saya tidak bimbang kerana wanita UMNO mempunyai pengalaman gerak kerja yang tersusun dan sistematik dari dulu lagi dan tidak pernah berhenti mendekati pengundi.

“Kita juga mendekati pengundi sepanjang masa dan tiada masalah pada PRN Melaka kali ini. Wanita UMNO bukan hanya melaksanakan kerja dalam dua atau tiga minggu sahaja tetapi kita telah lama membuat kerja ini bagi mendekati pengundi-pengundi untuk menunaikan tanggungjawab untuk keluar mengundi,” katanya ketika diwawancara dalam Program Gegau Melaka, UMNO Online di sini.

Norliza yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang seterusnya berkata, isu utama dalam berkempen pada PRN Melaka kali ini ialah memastikan keselamatan dan kebajikan jentera terjaga.

“Kita faham dan tidak mahu membahayakan rakyat tetapi kita percaya rakyat di negara ini telah mencapai lebih 90 peratus vaksinasi.

“Justeru, saya mengharapkan rakyat dan pengundi menjaga disiplin kendiri yang tinggi. Elakkan tempat yang sesak, jaga penjarakan fizikal, sentiasa memakai pelitup muka di tempat awam dan bersihkan tangan pada setiap masa di samping mengamalkan kebersihan kendiri yang baik ketika keluar mengundi,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Oleh: Mohd Saiful Mohd Sahak

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit