Jadikan PRU-14 Pengajaran, Kestabilan Politik Penting Dalam Bangunkan Negara – Johari Ghani

JASIN, 17 Nov – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berharap rakyat di Melaka mengambil pengajaran daripada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya ini kerana, kesan tersebut memberi impak sehingga ke hari ini apabila berlaku pertukaran kerajaan dalam pada masa yang singkat.

“Macam Barisan Nasional (BN) lebih 60 tahun kita mentadbir negara, ada track record membangunkan negara ini yang tidak boleh orang nafikan … ada kelemahan sana sikit itu perkara biasa, lumrah kerana mana-mana negara ada juga kelemahan.

“Tapi apabila kita sudah kalah pada PRU-14 dapat tengok kerajaan-kerajaan yang ambil alih selepas itu saya tengok mereka tidak boleh mentadbir dengan baik yang akhirnya tidak ada kestabilan politik.

“Bila tidak ada kestabilan politik bagaimana kita hendak membangunkan ekonomi negara, agak mustahil untuk membangunkan sekiranya kita tidak ada kestabilan politik,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Jelas Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa itu lagi rakyat di negeri ini perlu mengambil langkah yang bijak dengan mengundi BN malah beliau memaklumkan manifesto yang ditawarkan juga adalah bersifat menyeluruh dan menjamin ke arah kemajuan negeri.

“Konsep BN apa yang dijanjikan dalam manifesto ialah benda yang kita yakin akan dilaksanakan sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang sebab itu dalam PRN kali ini yang paling penting ialah kita kena cari calon dalam parti yang mempunyai ‘track record’ yang orang tidak boleh pertikai.

“Jadi bagi rakyat Melaka inilah peluang untuk kita susun balik kekuatan politik Melaka supaya kita dapat bangunkan negeri ini dan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain pada masa akan datang bahawa kestabilan politik adalah segala-galanya dalam membangunkan negara.

“Kalau ekonomi boleh dibangunkan maka kadar penggangguran dapat diturunkan, peluang pekerjaan dapat ditingkatkan jadi semua orang akan untung,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.