Yakini BN Untuk Bawa Melaka Kembali Stabil Demi Kemakmuran Rakyat – Ahmad Maslan

ALOR GAJAH, 16 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yakin dengan berkat sokongan dari rakyat khususnya pengundi maka Barisan Nasional (BN) akan kembali memerintah Melaka.

Beliau berharap perjuangan BN akan memberi manfaat kepada rakyat kerana BN mahukan negeri kembali stabil.

““Kita berharap apa yang hendak dibuat ini dapat manfaat untuk rakyat. BN perlu menang dengan stabil dan tidak mahu menang tipis dan kalau boleh menang banyak maka negeri boleh stabil dan majukan rakyat dan negeri,” katanya kepada UMNO Online, di sini.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian juga yakin bahawa apabila BN dapat memerintah kembali maka negeri terbabit akan stabil dan Melaka kembali menjadi tumpuan pelancong.

“Melaka ini cukup berpotensi terutama dari segi pelancongan, teknologi hijau, teknologi tinggi dan pada zaman BN menjadi kerajaan bukan hanya kemajuan untuk negeri tapi memberi kemajuan kepada seluruh rakyatnya dari segi segala pembangunan, prasarana dan sebagainya.

“Ini dah terbukti malah Melaka pernah menjadi salah satu daripada destinasi pelancongan utama negara kerana pernah direkodkan kedatangan pelancong paling ramai dalam negara.”

Dalam masa yang sama beliau turut melahirkan keyakinan terhadap calon-calon BN termasuklah bagi DUN Durian Tunggal, Zahidi Abd Kalil.

“Saya amat yakin jika diberi peluang kepada calon BN bagi DUN Durian Tunggal, Zahidi Abd Kalil, yang merupakan anak tempatan, usahawan, ada pengalaman dan juga Bendahari UMNO Bahagian Durian Tunggal, maka beliau dapat berkhidmat kepada rakyat.

“Saya kira pucuk pimpinan amat yakin dengan Zahari maka dengan bantuan orang-orang lama dan pimpinan yang lain-lain, Insya Allah beliau boleh memajukan Durian Tunggal dan menyelesaikan permasalahan prasarana termasuk banjir di Durian Tunggal.

“Saya ucapkan terima kasih lebih awal kepada pengundi Durian Tunggal dan mudah-mudahan memberikan sokongan yang padu pada saudara Zahari, insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit