Sulaiman Calon Ketua Menteri… Ia Jelas, Bukan Perkara Main-Main – Mahdzir

Tangga Batu, 16 Nov – Penegasan sekali lagi Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Negeri Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan berkaitan calon Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Seri Sulaiman Md Ali jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat pada PRN Melaka 20 Nov membuktikan keseriusan parti tersebut dalam soal berkenaan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata perkara berkenaan bukan perkara main-main kerana ianya melibatkan dasar dan penegasan mengenainya telah dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

“Timbalan Presiden UMNO yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan telah membuat kenyataan bahawa Ketua Menteri Melaka calonnya adalah Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

“Jadi maknanya lanjutan daripada itu saya fikir bahawa ianya adalah penegasan yang dibuat lagi sekali oleh kepimpinan. Jadi perkara ini bukan perkara main-main, perkara yang melibatkan dasar dan juga penegasan daripada pucuk pimpinan parti.

“Jadi tidak perlu ada perkara-perkara lain yang timbul…kadang-kadang ada orang nak timbulkan perbalahan dan perpecahan dalam parti,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Datuk Seri Mohamad Hasan semalam menyebut tiada istilah calon ketua menteri sementara kerana BN tetap memutuskan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Sulaiman sebagai bakal Ketua Menteri Melaka sekiranya BN diberi mandat pada 20 November ini.

Kata Timbalan Pengerusi BN itu, parti telah menetapkan bahawa Sulaiman akan terus memegang jawatan itu sehingga habis penggal.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap seterusnya menambah momentum gerakan jentera dan sebagainya terus meningkat dan berharap berterusan sehingga ke hari pengundian Sabtu ini.

“Insya-Allah kepada seluruh jentera jangan berhenti di tengah jalan dan masa yang berbaki tiga hari teruskanlah sampai ke saat-saat akhir bersama dengan pengundi dengan penuh kebijaksanaan dan kita tidak mahu benda yang boleh meroskakkan parti.

“Kita buat kerja kita dan usaha ikhtiar kita dan kita berjumpa pengundi dalam suasana yang baik…insya-Allah pengundi boleh memberikan sokongan kepada kita. Jadi kalau pengundi memilih BN itu adalah pilihan yang tepat. Kepada seluruh pengundi negeri Melaka berilah undi dan kepercayaan kepada BN,” ujarnya.

Terdahulu beliau mengadakan mesyuarat bersama jentera dan calon BN DUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin serta ke beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) sekitar untuk melihat secara dekat perjalanan jentera pelbagai peringkat menjelang hari pengundian Sabtu ini. – UMNO Online.

Oleh: Azman Abas

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit