Sayang Melaka Kononnya… Kenapa Batalkan HSR? Soal Sulaiman

JASIN, 16 Nov – Cogan kata ‘Abah Sayang Melaka’ yang digunakan oleh Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak selari dengan pendekatan yang dilakukan Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika menjadi Perdana Menteri, bidas calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Tegasnya, sekiranya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menyayangi Melaka bagaimana beliau mengambil keputusan membatalkan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur – Singapura (HSR) sedangkan ianya dijangka memberi pulangan yang baik kepada negeri ini.

“Kalau betul sayangkan rakyat di negeri ini patut teruskan projek HSR supaya limpahan ekonomi berkembang di Melaka, rangkaian daripada satu stesen di negeri ini ke Melaka Sentral kemudian ke koridor yang kita cadangkan.

“Jadi semua jajaran ini akan ada pembangunan kiri dan kanan malah banyak peluang perniagaan yang boleh dilakukan nanti.

“Kalau ‘abah’ betul sayangkan Melaka jangan batalkan projek ini… saya juga pernah pohon untuk lebar dan panjangkan Lapangan Batu Berendam dengan jumlah RM200 juta tapi dia kata tidak ada duit,” kata calon Ketua Menteri Melaka BN itu lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui melakukan tinjauan persiapan jentera Barisan Nasional di DUN Rim.

Jelas penyandang DUN Lendu itu lagi, beliau pada mula menjangkakan projek ini akan memberikan impak besar kepada ekonomi negeri ini terutama dalam sektor pelancongan namun ianya tidak menjadi kenyataan apabila HSR telah dibatalkan pada Januari 2021.

“Saya pada peringkat awalnya memang menyokong HSR sebab yakin dengan adanya projek ini melalui stesen di Melaka nanti akan memberikan impak ekonomi kepada negeri.

“Melaka boleh kembali menjadi negeri yang hebat kerana banyak pelancong yang akan datang ke Melaka yang keduanya adalah pelancong yang datang dari Singapura.

“Jadi sebab itu apabila kerajaan 22 bulan mengambil-alih dibatalkan saya fikir kalau betul sayang Melaka kenapa diteruskan pembatalan projek ini malah kita pula kena bayar RM320 juta kepada Singapura apabila terbatalnya HSR,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit