Rakyat Boleh Nilai Antara BN, PH, PN… Pilihlah ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ – Sharkar


MASJID TANAH, 16 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berpandangan rakyat telah melihat serta merasai bagaimana Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) memimpin sesebuah kerajaan negeri dan negara sebelum ini.

Justeru katanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka rakyat boleh membuat pertimbangan khususnya dengan tawaran yang dikemukakan oleh BN jika diberi mandat untuk menerajui negeri melalui pengundian pada 20 Nov ini.

“Kestabilan cukup penting kerana kalau sesebuah negeri atau negara tidak mempunyai kestabilan maka politiking akan berlaku sepanjang masa seperti yang kita lalui di Malaysia atau di beberapa negeri.

“Apabila tidak ada kestabilan maksudnya tidak ada satu parti yang dominan atau mempunyai majoriti yang besar dan sebab itulah BN memilih ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ supaya dengan ‘track record’ yang kita ada selama ini saya yakin, manifesto yang ditawarkan maka orang di Melaka akan memberi peluang kepada BN.

“Kita pernah ada kerajaan yang dipimpin oleh PH, kemudiannya kita ada juga kerajaan yang dipimpin oleh PN dan sekarang ini BN bersendirian … dan kita tahu bahawa apabila kita bersendirian maka keputusan yang kita perlu buat itu tidak ada ‘negotiation’ dengan parti-parti lain. Ini ‘solid decision’,” katanya kepada UMNO-Online ketika ditemui baru-baru ini di sini.

Jelasnya, sebagaimana contoh pentadbiran negeri Pahang yang mempunyai majoriti mutlak dari BN.

Dalam perkembangan lain, Sharkar turut memberitahu UMNO Pahang akan terus membantu ‘pemain utama’ pada PRN negeri berkenaan dan melihat komitmen serta permuafakatan antara jentera cukup baik.

“Kita hanya membantu dan kita bukanlah pemain utama dan pemain utamanya adalah jentera-jentera tempatanlah sama ada di peringkat cawangan, Pusat Daerah Mengundi (PDM) mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ini adalah jentera utama dan kita hanya membantu untuk mengurus kendali dan pada masa yang sama kita masing-masing perbaiki mana-mana yang mungkin ada kekurangan ataupun memberikan idea-idea dari segi menambah baik gerak kerja dan sebagainya. Alhamdulillah kita mendapat kerjasama yang baik daripada jentera tempatan,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit