Manifesto Dan Rekod ‘Tok Leman’ Pakej BN Untuk Rakyat Melaka – Shahril

TANGGA BATU, 14 Nov – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata Barisan Nasional (BN) meletakkan asas yang baik serta landasan yang cukup kukuh untuk rakyat khususnya pengundi di Melaka bagi mereka membuat pilihan pada Pilihan raya Negeri (PRN) itu 20 Nov ini.

Menurut beliau manifesto serta tawaran-tawaran yang dikemukakan selain rekod Datuk Seri Sulaiman Ali selaku Ketua Menteri sebelum ini merupakan satu pakej terbaik untuk rakyat negeri tersebut memilih BN.

“Kita kempen secara sihat kerana kita yakin dengan tawaran kita, jadi apabila orang menyindir atau orang nak melaga-lagakan, saya nampak kita sebenarnya ada aset yang paling elok iaitu manifesto dan tawaran kita serta rekod Datuk Seri Sulaiman Md Ali selaku Ketua Menteri.

“Manifesto ini disusun dengan cukup rapi daripada lima teras 103 inisiatif boleh dibahagi-bahagikan. Ada inisiatif 100 hari kita buat. Ada inisiatif setahun kita buat dan ada inisiatif yang mungkin ambil masa lima tahun. Jadi nampak dah yang ini bukan janji tangkap muat tetapi janji yang boleh ‘deliver’ dan kita kena bezakan janji-janji daripada BN ini dengan janji daripada parti lain.

“Jangan sebab parti lain buat perkara yang tak elok, manifesto bukan janji, manifesto bukan kitab suci, rakyat semua menyamakan manifesto parti-parti politik ini tidak boleh pakai. Saya rasa manifesto BN dan tawaran-tawaran serta aku janji kita berbeza komitmen serta kredibiliti kita,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, malam tadi.

Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO seterusnya menghuraikan secara ringkas beberapa inisiatif serta penekanan di dalam manifesto yang mempunyai lima teras itu.

“Secara khususnya mungkin beberapa contoh yang saya minat… janji mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan untuk 15 tahun. 10,000 tiap-tiap tahun untuk 15 tahun melalui Melaka Waterfront Economic Zone. Ini adalah satu usaha yang akan dijayakan oleh Datuk Seri Ketua Menteri yang mana 10,000 ini bukan kita cakap atau petik sesuka hati.

“Dah sebut dah 10,000 ini datang daripada Hub Logistik, Hub Pelancongan dan semua ini sudah menunjukkan pengkhususan serta spesifikasi dalam janji-janji kita.

“Keduanya ‘wifi’ pecuma untuk seluruh negeri Melaka dan ini pun satu pembaharuan yang cukup tinggi. Ketiga yang saya minat satu lagi contoh ialah soal bagaimana nak memajukan Melaka ini sebagai Hub Lembah Pertanian moden melalui ‘Urban Farming’ dan perkara-kara yang nampak ‘futuristic’, nampak perkara yang tidak sinonim dengan politik yang datang daripada parti-parti lain dan inilah BN baru yang kita bawa,” ujarnya.

Ulasnya lagi, selain soal manifesto ditekankan juga naratif-naratif utama berhubung calon BN yang 86 peratus muka baharu, ketetapan berhubung calon ketua menteri berbeza dengan parti-parti lain ada yang tidak boleh namakan dan jika dinamakan sekalipun orang akan sangsi sama ada betul atau tidak individu berkenaan atau orang lain.

Sementara itu berkaitan soal kempen beliau menjelaskan pihaknya terus fokus dengan apa yang hendak dilakukan serta dilaksanakan dalam usaha menyampaikan penerangan kepada rakyat selain menjawab isu-isu semasa.

“Kita fokus apa yang boleh buat jadi dalam hal ini boleh nampak dah ceramah ‘online’ kita buat, video-video jawab isu hari-hari kita buat mendapat sambutan. Kita juga mencampurkan kaedah tradisi menggunakan trak dan van pembesar suara.

“Jadi saya nampak agak teruja juga mencuba kaedah-kaedah baru kerana cabaran ini sebenarnya memberi peluang kepada politik baru yang kita cuba jayakan dan insya-Allah momentum penerangan dengan kaedah berbeza masih kita mampu jayakan. Cuma KPI (indeks prestasi utama)nya 20 November barulah kita dapat tahu hasilnya,” tambahnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit