Manifesto BN Bukan Sahaja Lengkap Malah Menyeluruh – Nicole

MASJID TANAH, 14 Nov – Manifesto Barisan Nasional (BN) yang memberi penekanan kepada lima teras utama untuk kepentingan rakyat Melaka adalah satu perkara yang cukup baik khususnya dalam aspek politik serta soal ekonomi dan lain-lain penekanan yang seharusnya dijadikan pertimbangan kepada rakyat negeri itu untuk memilih sebuah parti menerajui kerajaan negeri.

Perkara tersebut dikongsi Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong yang melihat manifesto tersebut amat baik yang memberikan satu pengharapan  serta tawaran untuk rakyat Melaka membuat pilihan.

“Apa yang saya nampak antaranya janji 100 hari serta janji pelaksanaan perancangan dalam tempoh setahun dan pelaksanaan lain dalam tempoh beberapa tahun pula menunjukkan keseriusan BN untuk mentadbir negeri.

“Soal pelaburan luar, sektor pelancongan pula ditingkatkan dan lain-lain perkara yang dekat dengan rakyat menampakkan manifesto tersebut cukup lengkap untuk dijadikan asas rakyat membuat pilihan nanti. Yakin apa yang kita janjikan BN akan laksanakan,” katanya kepada UMNO-Online baru-baru ini.

Tambah Nicole lagi soal perniagaan seperti bantuan kepada pengusaha kecil-kecilan serta pengusaha yang lain dan komitmen BN dalam menggalakkan sektor pelancongan adalah satu perkara yang amat menarik kerana Melaka terkenal dengan pelancongan.

Dalam perkembangan lain, beliau melihat ‘mood’ pengundi Cina mula beralih arah dan mereka sedar akan kepentingan kestabilan dalam sesebuah kerajaan negeri.

“Pengundi Cina dah faham dan mereka dah sedar kestabilan amat penting sekali. Mereka yakin kepada manifesto  BN,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit