Calon BN Manfaatkan Sepenuhnya Penggunaan Media Sosial, Tampil Kempen Positif

MELAKA, 14 Nov – Ekoran peraturan kempen yang ketat ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengekang penularan COVID-19, calon-calon yang bertanding di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menggunakan sepenuhnya media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok, WhatsApp, Twitter dan Youtube, untuk hebahan mengenai visi, misi dan aktiviti mereka.

Kekangan berkempen secara konvensional seperti tiada lagi penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal tidak mematahkan semangat calon-calon dan jentera parti yang bertanding dengan menjadikan kempen lebih kreatif dengan menggunakan sepenuhnya ruang di media sosial.

Begitu juga bagi calon-calon daripada Barisan Nasional (BN) yang semakin giat mempromosikan aktiviti-aktiviti mereka bersama rakyat dengan mendapat sokongan kuat dari jentera parti bagi memastikan kemenangan di dalam PRN ini.

Antara yang bergiat aktif, calon Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Sulaiman Md Ali penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu sering memaparkan aktiviti-aktivitinya di laman rasmi Facebooknya bukan sahaja ketika kempen pilihan raya ini malah sebelum ini lagi terutama ketika menjawat jawatan tersebut.

Antara statusnya hari ini, Sulaiman yang membahasakannya dengan panggilan An, memaparkan bahawa Manifesto BN di kawasannya itu merangkumi infrastruktur awam, kemudahan khidmat masyarakat dan pelbagai insentif untuk memberi manfaat kepada penduduk di semua peringkat usia di kawasan Lendu.

Selain itu, beliau turut memaparkan aktiviti-aktiviti harian bersama masyarakat setempat.

Pengerusi Badan Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Ab Rauf yang bertanding di DUN Tanjung Bidara turut aktif memaparkan aktivitinya.

Menariknya hari ini, Ab Rauf melaporkan UMNO Bahagian Masjid Tanah kemasukan ahli UMNO baharu di bilik gerakan Taman Bidara Palma, DUN Tanjung Bidara.

Manakala bagi calon wanita, Datuk Kalsom Noordin bagi DUN Pengkalan Batu juga aktif memaparkan selain gambar-gambar bersama rakyat, turut disertakan visinya antaranya seperti akan mewujudkan Pengkalan Batu Creative Centre (PBCC) yang akan menjadi lokasi dan ruang untuk anak muda berkarya, perkembangan bakat, penyediaan latihan dan kemahiran tambahan.

Terdahulu, Kalsom juga berkata rata-rata peniaga kecil dan usahawan muda yang ditemui inginkan satu Model Pembangunan Ekonomi khas buat warga kawasan tersebut.

Justeru itu katanya, satu Pusat Perkembangan dan Pembangunan Ekonomi DUN Pengkalan Batu perlu diwujudkan sebagai usaha dalam meningkatkan keupayaan dan taraf hidup golongan berpendapatan rendah dan pertengahan.

Tidak ketinggalan calon muda seperti Dr Akmal Saleh yang bertanding di DUN Merlimau yang menggunakan slogan ‘Anak Kampung Untuk Orang Kampung’ yang sedia memberi khidmat rawatan kepada penduduk tanpa mengira waktu bahkan melangkaui kawasannya dan bukan ketika musim pilihan raya sahaja.

“Saya faham ada di kalangan kita memandang negatif bila mana saya ke ‘house call’ semalam untuk merawat mak cik Zaiton, tetapi bagi saya, tanggungjawab merawat pesakit adalah melebihi segalanya.

“Untuk pengetahuan mak cik Zaiton dan keluarganya adalah di dalam DUN Sungai Rambai, yang mana mereka tidak boleh langsung mengundi saya di DUN merlimau, tidak pernah terlintas di hati saya apa yang saya lakukan ini adalah untuk meraih undi semata-mata.

“Saya mohon jangan samakan saya dengan pemimpin lain yang kehadirannya bermusim, saya adalah anak kampung yang hanya mahu berkhidmat untuk orang-orang kampong,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Berlainan pula bagi calon BN bagi DUN Bukit Katil, Datuk Hasnoor Sdg Hussin selain aktif di Facebook, turut aktif di aplikasi TikTok @datukwirahasnoor dan ada video pendeknya hingga kini mendapat lebih 40 ribu tontonan.

Begitu juga dengan BN Jasin dengan akaunnya @bnjasin mempromosi calon-calonnya melalui aplikasi itu. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit