PRN Melaka: Awas Janji Palsu PH Sedang Berkeliaran, Pesan Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpesan kepada rakyat negeri Melaka agar berhati-hati dengan janji-janji palsu yang sedang berkeliaran di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu.

Ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, Pakatan Harapan (PH) datang lagi dengan janji-janji manis barunya dan terdapat banyak perkara yang sangat mengelirukan dalam janji mereka kepada rakyat Melaka kali ini.

“Mahu menggubal enakmen anti-lompat parti bagi menjamin kestabilan kerajaan, tetapi inilah parti yang mengiktiraf `katak berprinsip’. Mahu mengiktiraf kedudukan Ketua Pembangkang setaraf Exco, tetapi inilah parti politik yang memperkecilkan peranan Ketua Pembangkang semasa menjadi kerajaan.

“Mahu memberi hak peruntukan tahunan setara kepada setiap ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) tanpa mengira parti, tetapi merekalah yang menafikan hak itu semasa berkuasa sebagai Kerajaan Persekutuan.

“Mahu mewujudkan peluang pekerjaan baharu di PBT (pihak berkuasa tempatan) dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan), tetapi inilah parti yang pernah kata saiz perkhidmatan awam negara terlalu besar dan patut dikurangkan,” bidasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Jelas Ahmad Zahid, realitinya inilah antara yang baharu dijanjikan mereka, tetapi terbukti dilaksanakan secara ‘vice versa’ sepanjang 22 bulan mentadbir negara.

“Bukan mahu mengungkit, tetapi ia ‘case study’ yang wajar dijadikan rujukan oleh pengundi Melaka dalam menilai janji-janji bulan dan bintang.

“Seperti dikatakan Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan cukup-cukup sudah terpedaya dengan janji tidak munasabah dan tidak realistik,” katanya lagi.

Justeru, Ahmad Zahid menyeru rakyat negeri itu baca dan nilai manifesto BN bagi PRN Melaka maka pasti akan mendapati ia suatu yang jujur, ‘real’ serta berpijak di bumi yang nyata.

“BN buat apa BN janji kepada rakyat terbukti sejak sekian lama. BN malah ada ‘track record’ pentadbiran yang cekap dalam melaksanakan iltizamnya.

“Namun malangnya pada PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) bersamaan 9 Mei 2018 ia telah dikaburi dengan fitnah dan pernainan persepsi mereka yang sangat rakuskan kuasa.

“Sehingga telah memperdayakan rakyat dan Insya-Allah rakyat tidak terpedaya lagi. Orang Melaka akan buktikan,” tegas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Tambah Ahmad Zahid, kini semakin hampir dengan tarikh mengundi dan beliau amat yakin rakyat seluruh negeri Melaka sudah kenal dan faham apa yang mereka harus undi nanti. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit