Manifesto BN Komprehensif, Matlamat Bina Negara Perlu Kestabilan – Najib


MELAKA, 13 Nov – Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menganggap manifesto yang ditawarkan BN adalah komprehensif dan menyeluruh sebagaimana temanya ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’.

Ujarnya, dalam landskap politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), punca yang menjadi permasalahan besar dalam negara sebagaimana yang diperkatakan pihak media luar dan pasaran iaitu mereka yang mahu melabur ialah dengan menilai dari kestabilan politik.

“Sebab itulah BN tampilkan tema kestabilan dan dalam erti kata yang komprehensif kita juga mahu kerajaan yang diyakini dan boleh dipercayai. Apabila kita kemukakan manifesto atau aku janji maka kita akan laksanakan setelah ada kuasa, jangan main-main, jangan kata kita boleh buat ini, buat itu tapi bila ada kuasa tak dilaksanakan,” katanya.

Tegas Najib yang juga Perdana Menteri ke-6, rakyat telah mengalami perkara itu.

“Pakatan Harapan (PH) adalah salah satu punca kejatuhan kerajaan PH sendiri kerana mereka mungkir janji. Rakyat marah. Kerana itulah tujuh pilihan raya kecil (PRK) semasa mereka berkerajaan mereka kalah.

“Rakyat pilih BN kerana PH gagal mengotakan janji mereka dan satu lagi aspek yang amat penting adalah kemampuan mentadbir negeri atau negara dengan baik.

“Kerana kalau ada kestabilan tapi tak kompetan pun tak jadi. Mesti ada kestabilan politik, mesti tunai semua janji dan mempunyai kemampuan dalam melaksanakannya.”

Ujarnya, pasaran luar iaitu para pelabur menilai dari kestabilan politik negara kerana mereka mahukan dasar atau polisi yang konsisten.

“Salah satu kesilapan besar PH adalah membatalkan kontrak-kontrak yang telah dibuat oleh BN, sedangkan sepatutnya sesiapa pun yang naik menjadi kerajaan perlu menghormati kontrak-kontrak atau perjanjian yang telah dibuat atau ditandatangani oleh kerajaan sebelum itu dengan pihak luar.

“Ini kerana kalau tidak ia akan merosakkan keyakinan dunia luar kepada Malaysia sebagaimana yang berlaku dalam pentadbiran PH,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata demikian menerusi Program Bual Bicara ‘Gegau Melaka: Antara Mitos & Realiti yang Semasa’ yang disiarkan melalui saluran di Facebook dan Youtube UMNO Online, malam tadi.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengulas berkaitan janji BN menerusi manifestonya untuk pelaksanaan Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) kembali ke rancangan asal iaitu dari Kuala Lumpur ke Singapura dan tidak hanya berhenti di Johor.

“Jika kita menang kerajaan negeri akan minta HSR balik semua kepada asal iaitu melalui Melaka sebab kerajaan BN tahu di Melaka ini ada dua, iaitu pertama punca ekonominya adalah pelancongan dan kedua masalah yang agak kritikal ialah kesesakan jalan raya.

“Maka jika ada HSR ia akan dapat membantu mengatasi masalah tersebut. Jadi ini satu perkara yang menarik kerana kalau BN menang di Melaka, maka kerajaan negeri akan meminta kerajaan Pusat untuk mengembalikan perancangan HSR kepada asal,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.