PRN Melaka: Manifesto Kestabilan Demi Kemakmuran BN Garis Lima Teras, 103 Inisiatif

MELAKA, 10 Nov – Barisan Nasional (BN) hari ini melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bertemakan Kestabilan Demi Kemakmuran, yang menggariskan lima teras dan 103 inisiatif.

Pelancaran yang dilaksanakan secara hibrid itu sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN), disempurnakan Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan dan dihadiri Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang juga calon BN kawasan Lendu.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata manifesto itu adalah aku janji kepada rakyat Melaka dengan berpandukan kepada lima teras utama iaitu kestabilan politik; lonjakan ekonomi baharu; kecekapan tadbir urus; masyarakat bersatu padu serta pembangunan mampan dan perkongsian kemakmuran.

Di bawah teras pertama Mohamad berkata BN berjanji untuk menyediakan peruntukan kepada semua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk ADUN bukan kerajaan sebagai langkah memastikan kemakmuran kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang politik.

“Kematangan politik ini turut dimanifestasikan menerusi cadangan meminda Perlembagaan Negeri bagi tujuan melantik lima orang ADUN tambahan termasuk dari kalangan belia dan NGO (badan bukan kerajaan) bagi membuka ruang serta perspektif persidangan DUN di luar ruang lingkup politik semata-mata,” katanya.

Beliau berkata untuk melantik lima ADUN tambahan, BN perlu menang dua pertiga daripada keseluruhan 28 kerusi yang dipertandingkan.

Untuk teras kedua iaitu lonjakan ekonomi baharu, ADUN Rantau Negeri Sembilan itu berkata BN berjanji untuk merealisasikan lonjakan ekonomi baharu menerusi kekuatan sektor ekonomi sedia ada yang terdapat di Melaka termasuk pelancongan.

Selain itu, usaha memperkasakan kemahiran bakat tempatan, usahawan dan peniaga kecil, nelayan, petani dan penternak akan turut diberikan tumpuan.

Mohamad berkata di bawah kecekapan tadbir urus yang menjadi teras ketiga manifesto, BN bertekad memberi komitmen dalam meningkatkan kecekapan tadbir urus kerajaan dan akan memperbaiki kelemahan sekiranya ada.

“Kita akan mengangkat inisiatif untuk mewujudkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Melaka dalam usaha mendengar dan memanfaatkan idea, pandangan dan perubahan yang hendak dilaksanakan di Melaka nanti,” katanya.

Melalui teras keempat iaitu memelihara keharmonian masyarakat bersatu padu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata BN akan memastikan setiap lapisan masyarakat akan mengecapi kehidupan yang lebih baik tanpa mengira keturunan, bangsa dan darjat.

Katanya, parti akan terus menghulurkan sokongan sosial kepada komuniti, memartabatkan belia, memperkasakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan Orang Asli serta menyantuni warga emas, menghargai petugas barisan hadapan dan memperjuangkan kepentingan wanita.

Di bawah teras terakhir, iaitu perkongsian kemakmuran, Mohamad berkata BN telah mengenal pasti projek-projek pembangunan berimpak tinggi, berserta keperluan menyediakan utiliti dan kemudahan awam berkualiti selain usaha mengatasi banjir serta melestarikan alam sekitar di negeri ini.

“Secara keseluruhan, lima teras ini merangkumi sebanyak 103 inisiatif yang bersifat inklusif untuk keluarga Melaka atas prinsip ‘No One Is Left Behind’ (Tiada Siapa pun yang akan tercicir’). Semua ini akan membawa kita kepada matlamat kestabilan demi kemakmuran,” katanya.

Beliau berkata manifesto parti BN merupakan aku janji yang realistik dan mampu siap dalam tempoh lima tahun akan datang selain tidak dirangka secara semberono, sebaliknya mengambil kira semua keperluan rakyat. – Bernama

[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2021/11/MANIFESTO-BARISAN-NASIONAL-MELAKA_READABLE.pdf”]

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit