BN Selaraskan Kempen Ikut SOP Semasa, Jentera Terus Lipatgandakan Usaha – Mohamad

MASJID TANAH, 10 Nov – Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kempen parti itu diselaraskan dengan Standard Prosedur Operation (SOP) semasa sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) itu 20 Nov depan.

Menurut beliau walaupun dilihat agak ketat namun parti tetap mematuhi segala garis panduan dan segala peraturan yang digazetkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepertimana saranan Kementeri Kesihatan Malaysia.

“Ya memang susah sebab PRN ini kita masih lagi dalam peringkat memerangi dan memutuskan jangkitan COVID dan itu merupakan keutamaan Negara. Jadi SOP yang dikenakan oleh KKM dan digazetkan oleh SPR itu perlu kita patuhi dan ini merupakan pilihan raya pertama pilihan raya negeri tetapi kita dah ada pengalaman semasa pilihan raya Kecil di Chini, PRK Slim dan juga Sabah.

“Kita akan patuh segala SOP yang dikenakan dan BN sedang mengubah cara untuk berkempen agar kita dapat menemui bukan sahaja secara fizikal tetapi menemui pengundi-pengundi melalui media sosial. Namun di kawasan kampung kita masih lagi memerlukan sentuhan fizikal untuk berjumpa seramai mungkin tetapi mengikut SOP yang dikeluarkan,” katanya kepada UMNO Online, di sini, malam tadi.

Mohamad seterusnya menambah segala kerja di pelbagai peringkat sedang diperkemaskan sebaik mungkin agar perjalanan kempen yang berbaki 10 hari terus berjalan dengan lancar.

“Gerak kerja disusun atur di peti undi dan gerak kerja ini telah lama dibuat dan hari ini ianya disusun atur supaya ianya lebih berkesan lagi. Banyak tempat yang saya pergi di PDM-PDM gerak kerja ini di selaraskan dengan baik.

“Jadi insya-Allah apa yang kita buat perancangan gerak kerja penting dan apabila gerak kerja disusun atur dengan elok-elok, saya yakin bahawa yang penting kita nak keluarkan seramai mungkin penyokong-penyokong-penyokong kita.

“Tidak guna kita ramai penyokong di atas kertas tetapi tidak keluar semasa hari pengundian. Katakanlah kita boleh keluarkan 90 peratus pengundi setia kita, insya-Allah kita boleh kekalkan kemenangan pada PRU-14 selain harapan dan juga peluang yang cerah di beberapa kerusi lain memandangkan PRU-14 dan PRN ini merupakan dua perkara yang berbeza.”

Dalam perkembangan sama beliau turut melontarkan keyakinan bahawa pengundi hari ini sudah boleh membuat pertimbangan serta penilaian yang sewajarnya.

“Itu sebabnya manifesto kita pada kali ini tajuknya ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’. Jadi rakyat mesti memilih dan memberi kepercayaan kepada satu parti teras supaya parti teras ini dapat menubuhkan kerajaan dan bukannya parti yang tidak cukup nak menubuhkan kerajaan dan berkongsi dengan orang lain untuk tubuhkan kerajaan.

“Malah setiap hari pemimpin kerajaan atau ketua negeri sentiasa diugut, diancam. Kalau tidak dapat penuhkan apa yang mereka mahu, mereka akan lari keluar dan kerajaan akan jatuh. Jadi ianya bukan kerajaan sahaja yang jatuh tetapi rakyat akan susah disebabkan ketidakstabilan politik di Negara dan negeri ini,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit