PRN Melaka: Jaya Atau Gagal Jadi Cerminan Parti Lakar Landskap PRU15 – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata berjaya atau gagal Barisan Nasional (BN) di dalam Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) menjadi lakaran bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Jaya atau gagal akan menjadi cerminan kepada UMNO dan BN untuk melakar landskap dalam PRU15.

“Semangat jentera kita dari seluruh negara untuk membantu jentera BN Melaka amat berbeza sekarang,” katanya dalam satu hantaran Facebook malam tadi yang turut memuat naik video promo calon-calon BN.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menghargai semangat semua jentera parti dari seluruh negara yang turun membantu bagi memenangkan BN.

“Terima kasih kepada semua yang turun ke Melaka membantu calon-calon kita,” katanya lagi.

Seperti kelaziman, setiap kali di sesebuah kawasan diadakan pilihan raya kecil (PRK) atau PRN di sesebuah negeri serta melibatkan UMNO/BN, jentera parti dari lain-lain kawasan/negeri turut membantu jentera tempatan dan calon yang bertanding.

Sebagai contoh, untuk PRN Melaka ini jentera dari negeri Johor ditugaskan membantu di beberapa kawasan di Jasin; Kedah dan Perak di Tangga Batu dan; Terengganu di Hang Tuah Jaya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini, BN menampilkan 28 orang calonnya untuk bertanding di kesemua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu 20 calon dari UMNO, tujuh MCA dan satu MIC yang menyaksikan 86 peratus calon muka baharu serta mengekalkan empat orang penyandang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov manakala semalam merupakan hari penamaan calon. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit