Pilih Biru BN Original… Ahmad Zahid Seru Kembalikan Kestabilan, Kemakmuran Yang Dirindui

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru rakyat khususnya pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka untuk bersama kembalikan kestabilan dan kemakmuran yang dirindui.

Ujarnya, seramai 28 calon BN bagi PRN Melaka menterjemahkan suatu bukti yang nyata bahawa BN terus membawa naratif politik berlandaskan semangat perpaduan pelbagai kaum di Malaysia.

“Calon UMNO bersama MCA dan MIC sekali lagi berpadu sebagai suatu wadah gabungan politik membawa harapan sebenar rakyat.

“BN akan kembalikan perpaduan yang pernah dirampas daripada rakyat Malaysia pada PRU-14.

“BN mahu kembalikan kemakmuran dan kestabilan ekonomi yang terus menerus merundum sejak 9 Mei 2018.”

Maka katanya, PRN Melaka sebagai langkah pertama dan kejayaan misi itu kini di tangan rakyatnya.

“Justeru, rakyat Melaka tanpa mengira bangsa dan agama jangan tersilap memilih harapan palsu sekali lagi, dan rakyat Melaka berbilang bangsa dan agama jangan tersilap pilih warna biru pada 20 November 2021.

“Mungkin ada biru kelihatan sama, tetapi tidak serupa. Pastikan pilih biru BN yang original kerana original itu berkualiti.”

Selaras dengan itu katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya berharap agar rakyat jangan terpedaya biru tiruan cetak rompak kerana hasilnya pasti mendukacitakan.

“Memilih warna biru parti politik mestilah atas manfaat jangka masa panjang yang jelas pernah telah terbukti,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit