Pendidikan, Modal Insan Antara Diberi Tumpuan Bajet Johor 2022
JOHOR BAHRU, 9 Nov – Sektor pendidikan dan pemerkasaan modal insan antara yang diberi tumpuan oleh kerajaan negeri dalam Bajet Johor 2022 yang akan dibentangkan pada akhir bulan ini.
Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata kerajaan negeri memberi fokus terhadap usaha melestarikan pendidikan dan latihan kemahiran dalam usaha melahirkan modal insan yang berketrampilan serta berkemahiran tinggi.
“Justeru, kita perlu sentiasa mencungkil, menggilap dan terus memperluaskan lagi potensi dalam kalangan rakyat bagi merealisasikan hasrat ini sekali gus menjadi antara negeri yang penting (berwibawa) dalam negara.
“Oleh sebab itu, jika ada kesempatan saya akan menerangkan betapa bertuahnya kita berada di negeri Johor di mana-mana majlis yang saya hadir, ” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hasni berkata sesi pengajaran dan pembelajaran yang tertangguh akibat pandemik COVID-19 perlu dimulakan segera.
“Kita tahu bahawa anak-anak tidak dapat ke sekolah (sebelum ini) dan ada antaranya yang terganggu pembelajaran mereka sama ada disebabkan kekangan ekonomi keluarga atau pun sistem (Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah) (PdPR) yang diperkenalkan ketika itu sukar dilaksana.
“Maka, atas dasar itulah menjadi tanggungjawab semua bagi memastikan kita dapat mengembalikan semula atau ‘reset’ kaedah pendidikan kita secepat mungkin yang mana semua ini memerlukan tindakan awal kita dan akan diberi penekanan dalam Bajet Johor 2022 nanti,” katanya. – BERNAMA