Bung Moktar Seru Semua Ahli Parlimen Sokong Akta Anti Lompat Parti

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Seorang Ahli Parlimen hari ini menyeru semua wakil rakyat untuk menyokong usul berhubung Akta Anti Lompat parti yang dicadangkan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang), apabila ia dibentang di Dewan Rakyat.

Ketika sesi perbahasan Bajet 2022 pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata usul berkenaan sewajarnya diterima bagi memastikan kestabilan politik serta kerajaan dan untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Beliau berkata demikian selepas Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) mencelah sesi perbahasannya dengan membangkitkan tindakan lompat parti dalam kalangan ahli politik telah mengakibatkan ketidakstabilan politik di negara ini.

“Saya pun tidak suka orang lompat-lompat dan waktu orang lompat-lompat di Sabah dulu, saya orang terakhir yang tetap tidak lompat. Oleh kerana mungkin orang yang lompat-lompat itu maka Shah Alam (Khalid) pun dalam (kerajaan ketika itu) sana maka Shah Alam pun gugur juga.

“Sebab itu, kita mahu adakan pilihan raya supaya jangan ada lompat-lompat dan Ahli Parlimen Pengerang pun sedang merangka satu usul iaitu akta antilompat parti.

“Saya memang sokong. Saya harap Shah Alam (Khalid) pun sokong. Kita tidak mahu ada lompat-lompat. Kalau kita menang, menanglah. Kalau kalah, kalahlah, apa mahu takut? Lawan sajalah,” kata Bung Mokhtar.

Terdahulu, Khalid mendakwa tindakan lompat parti oleh segelintir pihak menyebabkan pertukaran kerajaan sehingga turut menjejaskan ekonomi negara.

“Ini merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh golongan yang telah lompat dan menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan yang dulu ada majoriti besar tetapi apabila berlakunya pengkhianatan maka ketidakstabilan politik terhasil untuk negara Malaysia hingga sekarang,” kata Khalid.

Pada September lepas, Azalina meminta agar rang undang-undang antilompat parti dibentangkan di Dewan Rakyat dengan secepat mungkin memandangkan amalan lompat parti bukan sahaja tidak adil kepada rakyat tetapi juga terhadap parti politik yang berbelanja besar bagi perolehan data dan hal-hal lain ketika pilihan raya. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit