Tanding 28 Kerusi DUN, BN Tawarkan Kerajaan Yang Stabil – Dr Shamsul

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Secara rasminya menyaksikan Barisan Nasional (BN) bertanding di semua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, ujar Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Pengarah Komunikasi BN itu berkata keputusan parti meletakkan calon di semua 28 kerusi di mana UMNO bertanding di 20 kerusi DUN, tujuh MCA dan satu DUN daripada MIC, membuktikan kesungguhan BN membentuk kerajaan yang stabil di Melaka.

“Saya percaya rakyat inginkan kestabilan. Kerajaan yang stabil mampu membawa Kemakmuran kepada rakyat.

“Maka, pastinya gabungan parti dalam BN yang telah terbukti setia dan bersama sejak awal pilihan raya diadakan dalam sistem demokrasi di negara ini adalah pilihan terbaik untuk kestabilan Kerajaan Negeri Melaka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Kerana itu Dr Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong berharap rakyat Melaka dapat memberikan peluang kepada BN kekal sebagai kerajaan di negeri itu.

“Kita mahu memastikan Melaka ditadbir oleh sebuah kerajaan yang stabil dan kuat demi Kemakmuran rakyat Melaka,” katanya.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PRN Melaka yang bermula hari ini menyaksikan 112 calon layak bertanding mewakili parti-parti politik yang bertanding serta individu perseorangan.

Proses penamaan calon yang bermula 9 pagi dan berakhir 10 pagi tadi berlangsung dengan lancar serta dalam suasana norma baharu, tanpa perarakan penyokong parti politik ke pusat penamaan.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.