Pelbagai Bentuk Kempen Secara Maya Dipergiatkan, Yakinkan Pengundi Pilih BN

MASJID TANAH, 8 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu yang juga ‘poster boy’ parti sebagai Ketua Menteri sekiranya BN diberikan mandat pada 20 Nov depan berkata kempen secara maya akan terus dilipatgandakan setelah melihat kepada prosedur operasi standard (SOP) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut beliau pelbagai slot-slot ceramah dan bentuk kempen secara maya dipergiatkan manakala seluruh jentera parti pula telah diingatkan untuk mematuhi segala SOP kempen yang dikeluarkan oleh pihak-pihak yang terlibat seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Hari ini Alhamdulillah proses penamaan berjalan lancar dan kita memohon agar jentera berkempen dengan mematuhi SOP sepertimana yang telah ditetapkan oleh SPR serta KKM dan berkempenlah secara baik.

“Kempen secara maya diperhebatkan dan memperkuatkan unit media di bawah BN dan kita perbanyakkan lagi slot-slot ceramah menerusi secara maya,” katanya di sini, hari ini.

Sulaiman seterusnya berharap para pengundi memberikan kepercayaan kepada BN untuk terus menerajui negeri berkenaan agar segala yang dirancang serta yang telah dilaksanakan dapat diteruskan dengan jayanya kelak.

“Kita percaya jika mandat diberikan oleh rakyat kepada BN sudah pasti banyak perancangan-perancangan yang dilaksanakan, insya-Allah.

“Malah dengan calon muda dan muka baharu yang diketengahkan, kita  yakin dan percaya mereka yang datang daripada pelbagai latar belakang boleh memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat di kawasan yang ditandingi,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit