Bencana Dalam Bencana, Setiap Agensi Perlu Jadi “Responder” Yang Baik

PUTRAJAYA, 8 Nov – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu setiap agensi terlibat menjadi “responder” atau agensi penggerak balas yang baik semasa menyelamat dan menguruskan pusat pemindahan ketika menghadapi situasi “bencana dalam bencana”.

Dengan pandemik COVID-19 dan varian-variannya masih belum terhapus, beliau berkata penyelarasan sumber dan kerjasama padu antara agensi-agensi kerajaan adalah diperlukan dalam menghadapi situasi “bencana dalam bencana” (banjir dan COVID-19) terutamanya semasa Monsun Timur Laut yang sudah bermula.

“Ia bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19 semaksimum mungkin dengan pematuhan kepada SOP (prosedur operasi standard) atau garis panduan yang telah disediakan,” katanya ketika berucap merasmikan Program #KeluargaMalaysiaSiagaBencana sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021, di sini hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini meramalkan hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor mulai November ini hingga awal Januari 2022, susulan peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula 3 Nov dan berterusan sehingga Mac tahun depan.

MetMalaysia juga meramalkan hujan lebat lebih tertumpu di Sarawak serta Sabah pada awal Januari dan Februari 2022.

Ismail Sabri dalam pada itu berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi utama yang membantu kerajaan menyusun langkah-langkah wajar sebelum, semasa dan selepas bencana, telah mengambil langkah proaktif menggubal Dasar Pengurangan Risiko Bencana (DRR).

“DRR bukan sekadar penyediaan infrastruktur berhadapan bencana sahaja tetapi meliputi semua tindakan pencegahan dan pengurangan risiko dalam setiap tahap kitaran bencana,” katanya.

Justeru, katanya kajian Daftar Risiko Bencana (NRR) dilaksanakan untuk meningkatkan pemahaman terhadap risiko bencana yang telah atau berpotensi berlaku bagi memudahkan perancangan dan membuat keputusan secara bermaklumat.

Ismail Sabri berkata kesiapsiagaan bencana adalah satu proses berterusan yang sentiasa dikemas kini agar mutakhir serta inklusif supaya dapat melahirkan komuniti berdaya tahan bertepatan dengan seruan Maqasid Syariah untuk pemeliharaan akal, nyawa dan harta pada setiap masa.

“Impak bencana seperti kehilangan nyawa, akal atau harta, semasa atau pasca bencana bukan mudah dihadapi apatah lagi nyawa tiada galang ganti. Ia memerlukan sokongan psikososial untuk waris bangkit semula bagi meneruskan kesinambungan ekonomi dan keluarga,” katanya.

Pada majlis itu, Ismail Sabri menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan komuniti Zon Hijau COVID-19 yang dilancarkan pada April lepas.

Program itu diadakan bertujuan memperkasakan peranan komuniti melalui jalinan kerjasama antara kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat untuk mewujudkan lebih banyak kawasan bebas jangkitan wabak itu.

Antara pemenang pertandingan adalah Kampung Talang Hulu, Kuala Kangsar di Perak bagi kategori luar bandar-kampung tradisional dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pangsapuri Seri Sena, Kangar, Perlis untuk kategori bandar.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.