Jadikan PRU14 Pengajaran, PH Tipu Rakyat Dengan Janji Manis – Rahmad

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman berkata rakyat di Melaka sewajarnya mengambil pengajaran daripada keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri ini.

Katanya, dalam tempoh tersebut rakyat dapat melihat sendiri urus tadbir mereka yang disifatkan sebagai gagal kerana memenangi PRU-14 dengan hanya bermodalkan janji manis.

“Pengalaman kita selama 22 bulan semasa pentadbiran PH telah pun mengajar erti kesusahan, keadaan rakyat yang tertipu dengan janji manis dan juga manifesto yang tidak benar… pastikan ini tidak berlaku lagi.

“Harapan saya kepada seluruh rakyat negeri Melaka pilih kerajaan yang benar-benar stabil pada kali ini.

“Pilihlah BN insya-Allah kita akan membantu rakyat tanpa mengira waktu siang ataupun malam bukan sahaja untuk memastikan politik yang stabil namun juga untuk ekonomi dan sosial yang terbaik untuk negeri Melaka,” katanya kepada UMNO Online.

Rahmad yang merupakan penyandang bagi kerusi DUN tersebut juga akan memberikan khidmat terbaik sekiranya beliau sekali lagi dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti negeri dan nasional yang mana telah pun memilih saya sekali lagi untuk menjadi calon di DUN Ayer Molek.

“Alhamdulillah saya akan teruskan tugas-tugas dan kerja-kerja yang pada pendapat saya masih lagi banyak yang perlu diselesaikan kerana dalam tempoh setahun setengah ini tidak mencukupi untuk membantu rakyat ke arah yang lebih baik untuk rakyat di Ayer Molek.

“Insya-Allah sekiranya saya terpilih saya tidak dapat menjanjikan bulan dan bintang tapi saya akan mencurahkan yang terbaik untuk rakyat di sini,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit