PRN ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’, BN Tampilkan 86 Peratus Muka Baharu – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Negeri Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan parti mempertaruhkan 86 peratus calon muka baharu pada hari pengundian 20 Nov depan.

Katanya, PRN kali ini juga menyaksikan UMNO akan diwakili 20 calon, tujuh MCA dan satu daripada MIC.

“BN akan turunkan 28 calon di 28 Dewan Undangan Negeri pada PRN ini. 86 peratus muka baharu dengan cuma kekalkan empat penyandang jawatan, kalau dahulu tak sampai 50 peratus.

“28 peratus pula adalah 45 tahun ke bawah, lima adalah wanita, empat daripada itu adalah UMNO dan satu MCA.

“Dalam muafakat dalam BN sukacita saya maklumkan BN akan pergi berseorangan tidak akan bersama-sama dengan mana-mana parti dan menggunakan logo sendiri yang melambangkan kemajmukan masyarakat yang berbilang kaum,” katanya pada sidang media Pengarah Pilihan Raya Negeri Melaka 2021 yang diadakan di Menara Dato’ Onn di sini sebentar tadi.

Katanya BN pada kali ini juga menggunakan tema ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ bersesuaian dengan hasrat parti bagi memastikan negeri ini mencapai kestabilan di bawah pentadbiran BN kelak.

“Sesuai dengan tema untuk negeri ini agar dapat jadi kerajaan yng boleh urus dengan baik di situ kita dapat berikan kemakmuran kepada rakyat Melaka,” ujar beliau.

Sementara itu beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada barisan parti-parti komponen BN yang memberikan kerjasama yang baik pada sesi perbincangan pemilihan calon tersebut.

“Setelah rundingan saya ucap terima kasih kepada rakan-rakan dalam BN dan kita telah pun mendapatkan persetujuan secara bersama.

“Semua parti-parti komponen mengambil bahagian sebagai satu ikatan BN untuk sama-sama harungi PRN yang akan diadakan pada minggu depan,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit