Marah ‘Benau’ PPBM Kerana UMNO Tolak Kerjasama… Ahmad Zahid Seru Tenang Saja, Fokus Bersama Rakyat

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan agar ahli UMNO tenang-tenang sahaja dan fokus kepada gerak kerja bersama rakyat untuk Barisan Nasional (BN) kembali mentadbir Melaka.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata demikian berikutan situasi semasa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas pendirian UMNO menolak kerjasam dengan PPBM.

“Marah benau pendokong PPBM kerana UMNO tidak bekerjasama dengan mereka pada PRN Melaka. Semakin kuat pula merentan serba tidak kena mengata itu dan ini tentang UMNO sejak kebelakangan ini,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya.

Jelas Ahmad Zahid, sebelum ini dengan angkuh PPBM dilapor mahu ‘langgar’ UMNO di Melaka, tetapi masih merungut tidak sudah-sudah.

“Sehingga sanggup melancarkan propaganda tidak masuk akal konon majoriti ahli UMNO mahu bersama PPBM. Menuduh UMNO tidak dapat bekerjasama dengan mereka disebabkan keegoan pimpinan UMNO, sedangkan ramai mengerti seperti apa yang kerap kali diperjelaskan bahawa itu adalah keputusan parti.”

Ujarnya, keputusan akar umbi UMNO yang bertegas menolak sebarang bentuk kerjasama politik dengan PPBM, seperti yang ditetapkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 kira-kira lapan bulan yang lalu.

“Rakyat mengerti mengapa PPBM menggelisah begitu teruk disebabkan pendirian UMNO itu. Mereka sedang takut dengan bayang-bayang sendiri kerana sedar tentang perbuatan dan kezaliman mereka.

“Berpakat bersama Dap dan Pakatan Harapan (PH) untuk memfitnah UMNO dan para pemimpinnya sejak 2016.

“Bergandingan bersama Dap dan PH menumbangkan kerajaan BN pada PRU-14 dengan tipu daya.

“Kini perlu berdepan semula dengan UMNO dalam PRN Melaka sebelum sempat memanipulasi cerita.”

Bidas Ahmad Zahid, selepas fitnah yang ditaburkan oleh mereka sudah tumpul dan rakyat menyedari tentang kecurangan dan hipokrasi mereka sendiri.

“Kita menerangkan rekod dan kemampuan kerajaan BN memakmurkan rakyat serta negeri Melaka, memperjelaskan segala tohmahan fitnah yang tidak benar dan mengingatkan rakyat Melaka apakah itu PPBM dan PH.

“Kita perlu meyakini kebijaksanaan orang Melaka dalam menilai apa yang benar dan terbaik untuk masa depan mereka,” katanya lagi.
Dilaporkan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kini berada di Jerman bagi menjalani rawatan ekoran sakit belakang serta leher yang dialaminya.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit