UPNM, ATM Diingatkan Tidak Ulangi Jenayah Yang Berlaku Ke Atas Zulfarhan – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Warga Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), diingatkan agar tidak mengulangi perbuatan jenayah sepertimana yang berlaku ke atas Pegawai Kadet Laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Perkara itu ditegaskan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang turut menyifatkan perbuatan ke atas Zulfarhan Osman itu sebagai keji.

“Kematian Allahyarham Zulfarhan (Osman) empat tahun lalu amat mendukacitakan, sebagai Menteri Pertahanan ketika itu, saya telah arah Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) gantung segera 32 Pegawai Kadet serta nilai semula sistem latihan dan pengurusan pelatih di ALK.

“Saya juga jamin tiada siapa akan dilindungi dan terlepas dari undang-undang,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook rasminya, pagi ini.

Beliau berkata UPNM dan ATM perlu mengambil iktibar dan pengajaran terhadap hukuman penjara yang dikenakan terhadap enam penuntut universiti itu kerana menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh Zulfarhan Osman.

“Saya tidak akan sesekali berkompromi dalam soal jenayah dan kezaliman!,’’ tambah Hishammuddin.

Semalam, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut UPNM selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan Osman, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Kesemua tertuduh yang kini berumur 25 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi hingga 5.30 pagi, 21 Mei 2017 dan dalam bilik 04-10 antara 4.45 pagi hingga 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan bahawa sebanyak 90 tekapan seterika wap yang dilakukan oleh tertuduh itu pada anggota badan Allahyarham Zulfarhan Osman telah menyebabkan kematian mangsa namun ia tidak terjumlah kepada niat membunuh dengan sengaja.

Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit