UMNO Tak ‘Gila Kuasa’, Yang Berikan Tawaran ‘Gila Kuasa’ Sebenar – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 3 Nov – “Jangan salahkan UMNO tentang perkara ini. Salahkan orang yang memberikan tawaran dan yang memberikan tawaran itu adalah sebenarnya yang ‘gila kuasa’… bukannya UMNO.”

Demikian tegasnya Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjawab tohmahan pelbagai pihak terhadap UMNO.

Ujarnya, beliau amat kesal tentang tentang perkara ini dan tuduhan UMNO gila kuasa adalah tidak benar.

“Apa yang berlaku di Melaka ini bukan kerja UMNO walaupun dua orang ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) itu dari UMNO, satu PPBM dan satu bekas Dap. Ada pihak yang mengatakan UMNO gila kuasa kerana perkara ini dan ia sebenarnya adalah satu perkara yang tidak benar.

“Saya yakin jika empat orang itu tidak di ‘offer’ atau diberikan tawaran terutama Datuk Seri Idris Haron yang kemungkinan dijanjikan sebagai Ketua Menteri Melaka maka saya yakin beliau tidak akan keluar. Oleh kerana ada janji-janji dari pihak tertentu supaya Datuk Seri Idris Haron menjadi Ketua Menteri maka beliau mendapat motivasi untuk mengumumkan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka.

“Takkan beliau hendak buang jawatan Exco bersama tiga orang dan takkan mereka hendak keluar saja-saja. Saya yakin kemungkinan besar keempat-empat ADUN itu ditawarkan satu jawatan termasuk Ketua Menteri dan tiga lain ditawarkan Exco Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program ‘Gegau Melaka: Bajet 2022, Melaka Ujian Awal’ yang disiarkan menerusi Facebook UMNO Online, malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata kriteria yang diberikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam pelancaraan jentera barisan Nasional baru-baru ini amat bertepatan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“WALI ini adalah cadangan dari Presiden UMNO mengenai kriteria calon PRN Melaka yang bermakna ‘W’ adalah winnable (boleh menang), ‘A’ acceptable (boleh diterima) dan likeable (disukai).

“Kriteria yang diumumkan oleh Presiden UMNO  iaitu ada orang lama, ada orang baru, ada orang muda sama ada lelaki mahupun wanita dan ianya bercampur-campur menjadi satu pasukan yang boleh menang.

“Calon yang pasti serta diumumkan menjadi ‘poster boy’ dan bakal menjadi Ketua Menteri  adalah Datuk Seri Sulaiman Md Ali malah beliau telah direstui oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan pengumuman sudah dibuat… rakyat pun sudah tahu perkara itu,” ujarnya lagi.

Terdahulu Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal 16 Nov.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli DUN (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit