Kegagalan PH Tadbir Urus Negara Jangan Dilupakan – Mohamad Ali

TANGGA BATU, 3 Nov – Kegagalan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan adalah cerminan kepimpinannya yang tidak kompeten di peringkat negeri termasuklah Melaka yang tidak harus dilupakan.

Menurut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, ini dapat dilihat apabila pelbagai janji yang ditaburkan PH sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu namun ianya tidak ditunaikan apabila berkuasa.

“PH ini kita tidak boleh menggambarkan ianya dalam negeri Melaka sahaja kerana pada ketika itu mereka juga menguasai kerajaan Persekutuan.

“Gambaran yang diberikan semua rakyat tahu bahawa apa yang dijanjikan oleh PH semasa mereka perintah janji seperti kenapa anak muda hendak hapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan tol… mereka bagi perkara untuk bagi rakyat tertarik.

“Namun ianya tidak dilaksanakan malah kita tengok suri rumah pun mereka hendak bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masa itu kita tengok Timbalan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengutarakan cadangan berikan kepada suri rumah KWSP tapi ianya tidak dilaksanakan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu berkata bagaimanapun situasi ini membuka mata rakyat bahawa pendekatan yang dijanjikan oleh PH pada PRU14 adalah sesuatu yang tidak realistik.

Jelas Mohamad Ali lagi, PH ternyata berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang dibarisi oleh kepimpinan yang berpengalaman dan kredibiliti.

“Itu sebab saya nyatakan berulang kali bahawa rakyat sebenarnya rindu kepada BN yang telah terbukti memberikan satu perjuangan dan keadaan yang amat baik kepada negara kita.

“Peluang-peluang yang cukup besar kepada rakyat, memberikan pembelaan dan kesemua itu dirangkumkan atas kebijaksanaan pemimpin-pemimpin BN yang telah memerintah negara kita berbanding apa yang berlaku 22 bulan semasa pemerintahan PH waimi di peringkat Persekutuan ataupun di negeri Melaka.

“Mereka tidak dapat melakukan sesuatu malah ekonomi kita bertambah buruk dan ini amat menyukarkan rakyat malah rakyat akui sehingga ke hari ini ekonomi rakyat agak terlalu teruk dan kesusahan rakyat amat terasa pada ketika ini,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit