Categories: Berita Lain

Agong Perkenan Proklamasi Darurat Sarawak Ditamatkan

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menamatkan Proklamasi Darurat bagi Sarawak, yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lepas.

Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata perkenan Seri Paduka terhadap penamatan Proklamasi Darurat berkenaan selaras dengan Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

“Perlu diperjelaskan di sini bahawa berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Proklamasi Darurat boleh ditamatkan lebih awal oleh Seri Paduka Baginda setelah berunding dengan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak (Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penamatan Proklamasi Darurat itu secara tidak langsung akan memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 diadakan setelah tempoh mandat kerajaan negeri Sarawak tamat pada 6 Jun lepas.

Azuan Effendy berkata Al-Sultan Abdullah memberi perkenan itu selepas menerima menghadap Abdul Taib di Istana Negara semalam bagi menyampaikan hasrat dan permohonan kerajaan negeri itu agar Proklamasi Darurat di Sarawak dapat ditamatkan.

Pada hari ini, Seri Paduka telah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara dan telah memberi sembah nasihat berhubung penamatan darurat itu pada sesi yang berlangsung selama satu jam, bermula 8 pagi.

Al-Sultan Abdullah turut menerima menghadap Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bersama Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad, menyembah taklimat berhubung perkara sama, semalam.

“Maka, setelah menimbang permohonon Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak dan memperhalusi sembah nasihat YAB Perdana Menteri serta sembah taklimat Peguam Negara dan pandangan ketua-ketua agensi kerajaan berkenaan, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ditamatkan,” kata Azuan Effendy.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kegusaran terhadap risiko peningkatan penularan jangkitan COVID-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri Sarawak diadakan.

“Pada hemat Seri Paduka, negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman COVID-19 dan penularan wabak ini juga masih di tahap yang membimbangkan.

“Perkenan Seri Paduka kepada penamatan Proklamasi Darurat adalah satu keputusan yang sukar dan rumit. Namun, diperkenankan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu,” kata Azuan Effendy.

Yang di-Pertuan Agong menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata perlu diberi keutamaan dan sentiasa mengatasi sebarang kepentingan peribadi dan politik.

Pada 31 Julai lepas, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan Proklamasi Darurat diteruskan di Sarawak hingga 2 Feb 2022 susulan ancaman pandemik COVID-19, sekali gus menangguhkan pilihan raya negeri bagi tempoh berkenaan.

Menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri itu, DUN Sarawak sepatutnya terbubar pada 7 Jun lepas, namun fasal berkenaan tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran berkenaan.

Bagaimanapun, Seksyen 2(2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 yang dikeluarkan berikutan Proklamasi Darurat Sarawak itu, menyatakan Seri Paduka boleh menamatkan proklamasi itu lebih awal setelah berunding dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak. – BERNAMA

Recent Posts

PRN Johor: BN Tekad Perkukuh Kedudukan, Mohamad Hasan Dilantik Pengarah, Hasni Ketua Penyelaras

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Barisan Nasional (BN) bertekad untuk terus mempertahan dan mengemas kini…

2 jam lalu ago

Tolak Retorik Pembangkang… PRN Johor Peluang Rakyat Stabilkan Kerajaan Negeri – Wanita UMNO

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim melihat kenyataan bekas…

8 jam lalu ago

PRN Johor: MB Beri Bayangan Akan Pertahan DUN Benut

PONTIAN, 29 Jan - Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad hari ini memberi bayangan akan bertanding…

10 jam lalu ago

Adakan Pilihan Raya Negeri Selari Dengan Aspirasi Rakyat

JOHOR BAHRU, 29 Jan - Tindakan kerajaan Johor membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengadakan…

10 jam lalu ago